Meluan Bakal Beralih Daripada Pembangunan Infrastruktur Kepada Pemerkasaan Ekonomi & Modal Insan
Pakan
Pembangunan infrastruktur yang semakin rancak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan membuka ruang kepada agenda pembangunan sosioekonomi dan modal insan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pelbagai projek pembangunan dapat dilihat dalam 10 tahun kebelakangan ini yang telah dan sedang dibina merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, kemudahan kesihatan, bekalan elektrik, air bersih serta penaiktarafan institusi pendidikan.
Antara projek utama ialah pembinaan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan kawasan pedalaman, termasuk laluan ke Ulu Mujok, kawasan Lasi, Kubu Brooke dan Meluan.
Selain itu, projek pembangunan jalan raya di Ulu Mujok bernilai RM85 juta dan di Lasi bernilai RM92 juta sedang dilaksanakan bagi meningkatkan hubungan perhubungan serta memudahkan pergerakan penduduk.
Dalam sektor kesihatan, pembinaan klinik kesihatan di Julau yang baharu sedang berjalan, manakala klinik di Ulu Entabai bernilai RM5 juta telah siap dan dilengkapi tenaga perubatan termasuk seorang doktor serta kakitangan kesihatan.
Dari segi kemudahan asas, liputan bekalan elektrik di kawasan Meluan kini mencapai kira-kira 90 peratus, manakala bekalan air bersih hampir mencapai 100 peratus susulan siapnya projek menaik taraf sistem bekalan air bernilai RM25.6 juta.
Malah, satu lagi projek loji rawatan air baharu bernilai RM164 juta dirancang bagi memenuhi keperluan penduduk Meluan, Lasi dan kawasan sekitarnya.
Kemajuan turut dicatat dalam sektor pendidikan menerusi pembinaan dan penaiktarafan sekolah, termasuk projek di Meluan bernilai RM23 juta serta sekolah di Serau dan SK Nanga Entaih yang masing-masing melibatkan peruntukan RM11 juta melalui kerajaan negeri dan pelaksanaan kementerian berkaitan.
Sementara itu, usaha membawa kemudahan Tingkatan Enam ke Julau turut membuahkan hasil apabila tiga bilik darjah disediakan di SMK Julau No. 1 bagi pengambilan pertama pada Jun 2026. Kemudahan itu memberi peluang kepada pelajar tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu berpindah ke sekolah lain.
Seramai 108 pelajar Tingkatan Enam Rendah dari kawasan Meluan dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Bagaimanapun, dalam lima tahun akan datang fokus pembangunan bukan lagi semata-mata menyediakan infrastruktur asas, sebaliknya akan beralih kepada peningkatan taraf hidup dan pendapatan rakyat.
Pembangunan sosioekonomi serta modal insan, khususnya pendidikan generasi muda, menjadi dua keutamaan utama kerana kedua-duanya merupakan asas untuk mentransformasikan kehidupan masyarakat.
Ketika ini, ekonomi penduduk Meluan banyak bergantung kepada tanaman lada di kawasan pedalaman dan kelapa sawit di kawasan yang lebih hampir dengan pusat penempatan.
Bagi mempelbagaikan sumber pendapatan, tanaman nanas akan menjadi satu sumber baharu yang kini dalam peringkat perbincangan dan penyelarasan.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan pekebun kepada satu jenis tanaman sahaja, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar.
Dengan kemudahan asas yang semakin lengkap, Meluan kini bersedia melangkah ke fasa pembangunan seterusnya yang lebih tertumpu kepada kesejahteraan, peluang ekonomi dan masa depan generasi muda.
Pusat Penjaja Pakan Jadi Pentas Usahawan Kecil Mengejar Impian
Sementara itu, siri Kembara UKAS 2.0 pada hari kelima turut merungkai kisah usaha, keberanian dan cita-cita besar dalam kalangan peniaga tempatan di Pusat Penjaja Pakan yang terus berusaha membina kehidupan lebih baik menerusi bidang keusahawanan.
Kunjungan ke pusat penjaja itu memberi peluang menyelami perjalanan beberapa usahawan kecil yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan, selain platform merealisasikan impian masing-masing.
Antara kisah menarik ialah perjalanan Elina Mary, seorang usahawan muda berusia awal 30-an yang mengusahakan perniagaan wangian, makanan dan minuman di pusat penjaja berkenaan.
Anak sulung daripada sebuah keluarga berketurunan Melayu dan Iban itu bukan sekadar menjual wangian, malah menghasilkan sendiri produk berjenama NUAN selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun.
Elina Mary
Menurut Elina, usaha menghasilkan wangian sendiri bermula dengan kesungguhan menimba ilmu apabila beliau perlu ke Johor Bahru untuk mengikuti proses pembelajaran dan penyelidikan sebelum berjaya membangunkan produk sendiri.
Pengalaman itu membuktikan bahawa membina perniagaan bukan sekadar memerlukan modal, tetapi turut menuntut kesabaran, komitmen dan kesediaan untuk terus belajar.
Elina mengusahakan wangian ‘NUAN’ hasil produk beliau sendiri.
Malah, Elina menyimpan impian besar untuk bergelar jutawan serta menjadi wanita pertama dalam keluarganya yang berjaya membina nama sebagai usahawan.
“Saya juga merancang memperluaskan pasaran produk NUAN ke kawasan lebih besar termasuk Sarikei dan Sibu,” ujarnya yang turut mengakui sambutan terhadap produk wangian keluarannya masih agak perlahan di kawasan luar bandar.
Bagi Elina, keadaan itu bukan alasan untuk berundur, sebaliknya menjadi cabaran untuk terus memperkenalkan produk tempatan kepada lebih ramai pelanggan.
Sementara itu, kisah persahabatan Mastura Luchang dan Anita Menari pula memperlihatkan bagaimana keserasian dan sokongan keluarga mampu menjadi kekuatan dalam membina perniagaan bersama.
Kedua-duanya mula berkenalan ketika bekerja di Bintulu sebelum mengambil keputusan pulang ke Pakan selepas menamatkan pekerjaan masing-masing.
Mastura Luchang dan Anita Menari menjalanka perniagaan bersama di Pusat Penjaja Pakan.
Anita berasal dari Pakan, manakala Mastura berasal dari Limbang. Kedua-duanya kemudian mendirikan rumah tangga dengan pasangan dari kawasan berkenaan dan memilih untuk membina kehidupan di situ.
“Sejak 2022 kami berdua berganding bahu mengusahakan perniagaan menjual pelbagai jenis kuih yang dihasilkan sendiri.
“Dengan sokongan suami dan anak-anak, kami menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, khususnya pada setiap Jumaat, cuti umum dan musim perayaan,” ujarnya.
Walaupun masih beroperasi secara sederhana, kedua-duanya menyimpan hasrat untuk memiliki kedai sendiri pada masa hadapan.
Mereka turut menyedari masih banyak aspek perlu diperbaiki, khususnya dari segi pembungkusan dan penjenamaan produk bagi meningkatkan daya tarikan serta memperluaskan pasaran.
Bagi Guin Rundu dari Rumah Janting, Lemujan, Jalai Wak, Pakan pula, perniagaan menjual sayur-sayuran menjadi sumber pendapatan tambahan yang membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Menjalankan perniagaan setiap hari, Guin mendapatkan bekalan sayur-sayuran daripada penduduk tempatan untuk dijual kepada pelanggan.
Guin Rundu
Dengan kadar sewa tapak hanya RM30 sebulan, beliau mengakui perniagaan berkenaan memberikan pulangan yang memuaskan dan membantu menambah pendapatan isi rumah.
Ketiga-tiga kisah ini memperlihatkan wajah sebenar keusahawanan luar bandar yang bergerak dengan kemampuan tersendiri, namun tetap mempunyai potensi untuk berkembang.
Daripada keberanian menghasilkan produk sendiri, kerjasama dua sahabat hinggalah usaha memasarkan hasil pertanian penduduk tempatan, Pusat Penjaja Pakan bukan sekadar tempat berniaga, tetapi turut menjadi ruang masyarakat membina peluang ekonomi.-UKAS