16 Sekolah Tanjong Manis Terima 31 TV Pintar, Perluas Akses Pembelajaran Digital
SARIKEI: Sebanyak 16 sekolah di Tanjong Manis menerima 31 unit TV pintar menerusi Fasa 2 sumbangan Pusat Khidmat Tanjong Manis bagi memperluas penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Sumbangan itu melibatkan 10 sekolah di Daerah Sarikei dan enam sekolah di Daerah Meradong, disampaikan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab di Dewan Khalid Al Walid, SK Agama (MIS) Sarikei, baru-baru ini.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan TV pintar di sekolah diharap dapat membantu guru menyampaikan bahan pembelajaran dengan lebih menarik dan berkesan, sekali gus meningkatkan minat murid melalui pendekatan pengajaran berasaskan teknologi digital.
Sebanyak 10 sekolah di Daerah Sarikei menerima sumbangan tersebut iaitu SMK Sarikei Baru, SK Sarikei, SK Agama (MIS), SK Abang Haji Matahir, SK Sungai Sentebu, SK Adin, SK St. Andrew, SK Jawa, SK Mandor Aris dan SJK San Ming.
Manakala di Daerah Meradong, sekolah penerima ialah SK Abang Amin, SK Mupong Ulin, SK Sungai Selidap, SK Sungai Sian, SK Tanjung Bundong dan SJK Ming Shing.
Setiap sekolah menerima dua unit TV pintar, kecuali SK Mupong Ulin yang menerima satu unit, menjadikan keseluruhan 31 unit disalurkan dalam fasa berkenaan.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pusat Khidmat Tanjong Manis dalam menyokong keperluan pendidikan, khususnya memperluas kemudahan teknologi digital di sekolah, dengan keseluruhan 41 sekolah berada dalam kawasan Tanjong Manis.-EDISI UKAS