Kem Remaja Qurani 1447H Bimbing Generasi Muda Berakhlak, Berilmu
KUCHING: Program Kem Remaja Qurani 1447 membawa salah satu misi besarnya iaitu memastikan pendidikan al-Quran dapat menyentuh hati para remaja dan membimbing mereka menjadi generasi yang berakhlak, berilmu serta dekat dengan hidayah Allah.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha berkata, program ini menjadi ruang untuk para peserta mendapatkan pencerahan, bimbingan dan inspirasi agar mampu membina masa depan yang lebih cerah dengan berbekalkan cahaya al-Quran.
"Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah AR-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: 'Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang'.
"Ayat ini adalah peringatan lembut daripada Allah bahawa ketenangan sebenar tidak datang daripada hiburan, rakan atau dunia di sekeliling semata-mata tetapi daripada hati yang sentiasa mengingati-Nya.
"Ia mengajak para remaja yang sedang melalui fasa penuh cabaran, pencarian identiti diri dan tekanan emosi untuk kembali membina hubungan dengan Allah sebagai sumber kekuatan dan ketenangan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS) Mohamad Shalahudin Marzuki dalam majlis penutupan program tersebut pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Misnu memberitahu, DHQc-MIS merupakan salah satu agensi di bawah Majlis Islam Sarawak yang diberi mandat untuk menyelaras dan menerajui pembangunan al-Quran di seluruh negeri Sarawak.
Jelasnya, DHQc-MIS berperanan sebagai pusat pembudayaan dan pengembangan ilmu al-Quran yang komprehensif, merangkumi pendidikan, penyelidikan, latihan profesional, pentaksiran, pentauliahan dan pemuliaan al-Quran.
"Dengan visi “Al- Quran Teras Pembangunan Ummah” , DHQc-MIS berusaha memastikan masyarakat Islam Sarawak bukan sahaja dapat membaca al-Quran, tetapi juga memahami makna, menghayati nilai-nilai wahyu dan membina kehidupan berteraskan panduan kitab suci ini," ujarnya.
Sejajar dengan peranannya sebagai pusat rujukan dan pembangunan al-Quran negeri, Datuk Misnu menjelaskan, DHQc-MIS berfungsi melalui tiga lajnah utama, iaitu Lajnah Tarbiyah, Lajnah Penyelidikan dan Pembangunan serta Lajnah Kawalan dan Komunikasi.
Lajnah Tarbiyah memberi tumpuan kepada pendidikan dan pengajaran al-Quran diikuti Lajnah Penyelidikan & Pembangunan yang memberi fokus kepada pengembangan ilmu dan wacana akademik al-Quran manakala Lajnah Kawalan & Komunikasi merupakan benteng utama pemeliharaan kesucian al-Quran. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ahmad Daniel Faiz