Limbang Open International Tug Of War 2025 Tarik Kehadiran Besar
LIMBANG: Limbang terus menjadi tumpuan peminat sukan tradisi apabila Limbang Open International Tug of War 2025 Piala YAB Premier Sarawak berlangsung penuh meriah dengan penyertaan besar serta sokongan pelbagai pihak.
Kejohanan edisi ke-16 itu turut menarik penyertaan pasukan dari seluruh negara termasuk pasukan antarabangsa dari Brunei Darussalam, sekali gus mengangkat sukan tarik tali ke pentas lebih tinggi dalam kalendar sukan daerah.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang hadir mewakili Premier Sarawak menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang (PTTBL) atas komitmen menganjurkan kejohanan tahunan tersebut.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan itu akan terus diperkasakan sebagai platform menghimpunkan peminat sukan tarik tali, memupuk semangat persaudaraan serta merancakkan ekonomi tempatan.
“Kita akan meneruskan penganjuran kejohanan ini setiap tahun sebagai usaha mengukuhkan penyertaan masyarakat, meraikan peminat tarik tali dan pada masa sama menyokong perkembangan ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut pada Ahad.
Sementara itu, Presiden PTTBL, Kaunselor Sufian Mohat, dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa kejohanan tahun ini berjaya menghimpunkan 54 pasukan, melibatkan 32 pasukan kategori terbuka, 11 kategori remaja dan 10 kategori wanita.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sumbangan RM150,000 daripada Premier Sarawak dan RM50,000 daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MTCP) yang membantu menjayakan penganjuran tersebut.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 November itu turut menyaksikan penurunan rekod kecederaan peserta berbanding tahun sebelumnya, hasil tahap persediaan yang lebih baik serta pematuhan terhadap prosedur keselamatan yang lebih ketat.-EDISI UKAS