KUCHING: Kerajaan Sarawak membentangkan Cadangan Belanjawan 2026 berjumlah RM12.9 bilion dengan unjuran lebihan bajet sebanyak RM144 juta hasil disiplin kewangan serta kejayaan strategi penjanaan semula hasil negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, daripada cadangan belanjawan tersebut sebanyak RM5.6 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala RM7.3 bilion adalah bagi peruntukan ke Akaun Dana Pembangunan.
"Peruntukan ini bertujuan menambah baki yang dibawa ke hadapan dalam Akaun Dana Pembangunan bagi membiayai Perbelanjaan Pembangunan 2026 yang dianggarkan berjumlah RM9.3 bilion
"Belanjawan Sarawak 2026 dijangka mencatat lebihan sebanyak RM144 juta, hasil unjuran pendapatan berjumlah RM13.05 bilion berbanding Perbelanjaan Biasa sebanyak RM12.91 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Tema bagi cadangan Belanjawan Sarawak 2026 ialah Memperkasa Rakyat, Memajukan Kesejahteraan, Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan.
Ini mencerminkan keyakinan teguh Kerajaan bahawa aset terbesar kita ialah rakyat dan bahawa peranan negeri adalah untuk memperkasa setiap rakyat Sarawak sama ada di luar bandar atau bandar, muda atau berusia, lelaki atau wanita agar mereka dapat menyertai pembangunan negeri tercinta ini secara penuh dan bermakna.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak menjelaskan RM5.6 bilion Perbelanjaan Mengurus akan memperuntukkan RM1.4 bilion bagi tujuan emolumen kakitangan, RM2.2 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan manakala RM1.8 bilion bagi geran dan bayaran tetap termasuk geran mengurus kepada Badan Berkanun serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pembayaran hutang, gratuiti, pencen, biasiswa dan bantuan kebajikan.
Selain itu katanya, RM99 juta akan diperuntukkan bagi perolehan aset, dan RM150 juta lagi untuk perbelanjaan mengurus lain.
“Belanjawan ini mencerminkan tindak balas kita yang berwawasan terhadap ketidaktentuan ekonomi global, termasuk fluktuasi harga komoditi dan ketegangan geopolitik yang terus membentuk realiti fiskal di seluruh dunia,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS