Gaji Penjawat Awam Sarawak Dinaikkan 7 Peratus Bermula 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh Perkhidmatan Awam Sarawak termasuk kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 7 peratus bermula 2026 sejajar pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kenaikan gaji berkenaan melibatkan peruntukan RM56 juta sebagai lanjutan kepada kenaikan 8 peratus yang telah berkuat kuasa awal tahun ini berjumlah RM67 juta.
“Skim gaji yang disemak ini bertujuan meringankan tekanan kewangan yang dihadapi pegawai serta membantu mereka mengurus kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, kerajaan terus menyediakan peruntukan untuk latihan dan pembangunan bakat berjumlah RM48.5 juta melibatkan Pembangunan Kemahiran Teknikal, Latihan Dalam Perkhidmatan dan Program Pembangunan Kepimpinan dan Eksekutif.
Tambahnya, sebanyak RM1.26 juta diperuntukkan pada tahun 2026 bagi menyokong program yang meningkatkan kesejahteraan keseluruhan dan keseimbangan kerja-kehidupan, serta kajian untuk membimbing dasar masa hadapan seperti pengaturan kerja hibrid, sokongan keperluan khas dan inisiatif kembali bekerja.-EDISI UKAS