Belanjawan Sarawak 2026: Manifestasi Iltizam GPS Memacu Kemakmuran Negeri
KUCHING: Belanjawan Sarawak Tahun 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya menjadi manifestasi jelas iltizam politik Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus memacu negeri ke arah kemakmuran yang lebih setara dan berkualiti.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setiap peruntukan dalam belanjawan mencerminkan keberanian membuat keputusan strategik, keutamaan yang berpaksikan rakyat, serta kesungguhan memastikan Sarawak mampu bersaing di peringkat serantau dan global.
"Inilah belanjawan yang disandarkan pada prinsip kebertanggungjawaban dan visi jangka panjang untuk membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat," katanya demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, Kerajaan GPS telah merangka langkah-langkah strategik untuk terus mengukuhkan asas pendapatan Sarawak, dengan komitmen kukuh untuk meneroka dan mempelbagaikan sumber pendapatan baharu pada tahun-tahun mendatang.
Di bawah pentadbiran beliau jelasnya, pendapatan negeri telah meningkat sebanyak 2.4 kali ganda, daripada RM5.9 bilion pada 2016 kepada RM14.2 bilion pada 2024 didorong oleh pengenalan sumber pendapatan baharu, terutamanya daripada Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum, aluminium, kayu balak, ferro-aloi, dan polysilicon serta pengenalan dasar Dividen Negeri.
Tambahnya, perbelanjaan juga melebihi RM10 bilion yang diperuntukkan setiap tahun sejak 2018 untuk tujuan operasi dan pembangunan demi menunaikan komitmen kepada rakyat.
"Maka, dengan semangat keyakinan dan kesepaduan, saya menyeru seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira perbezaan pandangan politik, untuk bersama-sama menyokong belanjawan ini demi kepentingan Sarawak dan generasi masa depan.
"Kita wajib menunjukkan kepada rakyat bahawa kepimpinan negeri bersatu dalam matlamat membina Sarawak yang lebih maju, stabil, dan progresif di bawah naungan kepimpinan yang utuh dan berpandangan jauh," tegasnya. -EDISI UKAS