RM665 Juta Diperuntuk, Perkasa Pendidikan & Pembangunan Bakat Pada 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak meneruskan komitmen besar dalam memajukan sektor pendidikan dan pembangunan modal insan dengan memperuntukkan RM665 juta di bawah Belanjawan Sarawak 2026.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peruntukan itu merangkumi pelbagai inisiatif strategik termasuk pendidikan tinggi percuma, pengukuhan TVET, bantuan pendidikan serta pembangunan bakat selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
“Secara keseluruhannya sejumlah RM665 juta akan disediakan untuk inisiatif pendidikan dan pembangunan bakat pada tahun 2026, mencerminkan keazaman berterusan kami untuk mengubah sektor pendidikan Sarawak demi kemajuan generasi semasa dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, daripada jumlah keseluruhan, RM250 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), selain RM36 juta bagi operasi Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak dan RM13 juta untuk perancangan kampus baharu di Bintulu dan Miri.
Menurutnya lagi, peruntukan turut merangkumi RM22 juta bagi SeDidik, RM14 juta Geran Tahunan Khas serta RM4 juta subsidi yuran TASKA dan TADIKA untuk keluarga berpendapatan RM7,000 ke bawah dan RM6 juta pula disalurkan bagi pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP).
Sementara itu, beliau berkata, sejumlah RM20 juta disediakan bagi Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP), diikuti RM30.5 juta bagi Program Laptop Percuma, RM2 juta Program Baucar Buku, RM15 juta subsidi bayaran balik PTPTN serta RM60 juta bantuan sara hidup pelajar universiti dan penerusan program i-GPS dengan peruntukan RM8 juta.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pembangunan bakat diperkukuh melalui pendekatan lebih menyeluruh dengan RM20 juta diperuntukkan bagi Program Graduates Enhancement Training Sarawak (GETS) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, selain RM96.2 juta bagi operasi institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta RM18 juta bagi pembangunan dan naik taraf kemudahan latihan.
Beliau menambah, usaha memperkasa tenaga kerja masa depan turut disokong melalui RM4.5 juta untuk Program NextGen Talent dalam bidang digital dan inovasi, manakala RM18 juta diperuntukkan untuk memantapkan ekosistem semikonduktor melalui SMD Semiconductor.
Kerajaan Sarawak juga, ujarnya, menyediakan RM1 juta untuk penyediaan dasar dan pelan induk pembangunan bakat negeri.-EDISI UKAS