33 Pasukan Sertai Pertandingan Futsal Karnival Sukaneka Matu 2026
MATU: Sebanyak 33 pasukan mengambil bahagian dalam Pertandingan Futsal Tertutup Matu sempena Karnival Sukaneka Daerah Matu 2026.
Pertandingan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Tian, pada Sabtu, turut mendapat perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya yang hadir menyaksikan aksi pasukan bertanding.
Beliau turut mengambil bahagian melakukan sepakan penalti bersama peserta, selain meluangkan masa menyantuni pemain dan jawatankuasa penganjur.
Penyertaan yang melibatkan 33 pasukan itu menyediakan ruang persaingan secara sihat dalam kalangan pemain, khususnya golongan belia, di samping menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Karnival Sukaneka Daerah Matu 2026 turut menjadi sebahagian daripada usaha menghidupkan aktiviti sukan di peringkat komuniti dengan menyediakan peluang kepada penduduk setempat untuk mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan riadah. -EDISI UKAS