Kuching Jadi Tarikan Program Antarabangsa, KJM DBKU Diseru Pamer Keramahan Masyarakat Sarawak
KUCHING: Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diseru terus memainkan peranan mempamerkan budaya dan keramahan masyarakat Sarawak kepada pengunjung luar, selaras dengan perkembangan Kuching sebagai tumpuan penganjuran pelbagai program dan persidangan antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, semangat kejiranan serta keterbukaan masyarakat dalam menyambut pelawat merupakan antara tarikan penting yang boleh membantu mempromosikan sektor pelancongan negeri.
Menurut beliau, Kuching kini semakin mendapat perhatian sebagai destinasi persidangan antarabangsa seperti persidangan Global Alliance for Healthy Cities ke-12 dan Kongres dan Pameran Air Sedunia pada tahun 2028.
Manakala tahun hadapan menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah bersama untuk Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
“Ini bermakna Kuching kini menjadi tarikan. Seterusnya, tarikan yang sangat penting ialah kejiranan kita dan semangat kita, kerana orang yang datang juga merupakan jiran kita. Kita mempamerkan budaya kita serta bagaimana kita menyambut dan menerima pelawat ke negeri ini.
“Alhamdulillah, kraf kita pamerkan, budaya kita juga termasuk persembahan gendang yang menggambarkan sikap masyarakat Sarawak yang mesra dan suka menerima pelawat.
“Saya rasa bandar raya boleh memainkan peranan dalam mempromosikan pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-25 Kejiranan Mesra DBKU di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, pembangunan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 2 yang mampu menampung sehingga 10,000 orang pada satu-satu masa turut menjadi antara tarikan utama, khususnya dengan lokasinya yang strategik di tepi sungai serta pemandangan menarik di sekitarnya.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pembangunan bandar raya pintar turut menyumbang kepada usaha menjadikan Kuching sebuah bandar raya yang bersih, menarik serta berdaya saing sebagai destinasi persidangan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus