KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju secara prinsip untuk menaik taraf kawasan tebingan Sungai Sarawak di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerusi pembangunan infrastruktur baharu bagi memperindah bandar raya serta meningkatkan kemudahan rekreasi rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan berkenaan merangkumi pembinaan jambatan baharu berhampiran Brooke Dockyard serta pengembangan tebingan sungai dari kawasan Dockyard di Kampung Masjid hingga ke Satok.
“Tebingan Sungai ini mempunyai reka bentuk yang agak unik, yang akan memberi gambaran begitu akrabnya rakyat dengan DBKU kerana adanya jambatan yang mencerminkan keakraban. Ada jambatan baharu pula berhampiran Brooke Dockyard.
“Ini akan disambung dengan tebingan sungai yang kita bangunkan dari kawasan Dockyard di Kampung Masjid sampailah ke Satok,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-25 Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, pembangunan itu akan menyediakan ruang rekreasi yang lebih menarik dan selesa kepada masyarakat, termasuk untuk aktiviti berjoging sambil menikmati pemandangan sungai.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pembangunan tebingan sungai turut dirancang di seberang sungai, melibatkan kawasan dari Kampung Lintang hingga Kampung Tupong bagi memperluas kemudahan serta memperindah kawasan berkenaan.
Jelasnya, pembangunan berkenaan memerlukan peruntukan yang besar, namun kerajaan yakin dana bagi merealisasikan usaha menaik taraf infrastruktur DBKU di kawasan sungai itu dapat disediakan.
Menurut laporan sebelum ini, projek ikonik sepanjang 4.8 kilometer ini akan dilaksanakan dalam dua fasa utama dengan fasa pertama dijangka bermula tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM160 juta.
Manakala, fasa kedua melibatkan kos RM400 juta dengan reka bentuk seni bina unik, termasuk pembinaan laluan bertingkat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus