Jalan Sibu-Kapit Pacu Pembangunan, Market Teresang Terus Menjadi Nadi Warisan Dan Ekonomi Tempatan
Pembangunan infrastruktur, khususnya pembukaan dan siapnya Jalan Sibu-Kapit, membawa perubahan besar kepada landskap kehidupan masyarakat di Kapit apabila perjalanan yang suatu ketika dahulu bergantung kepada pengangkutan sungai kini semakin mudah diakses melalui jalan darat.
Kemudahan perhubungan itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah membuka ruang lebih luas kepada pertumbuhan ekonomi, sektor pelancongan dan aktiviti perniagaan setempat.
Jalan Sibu-Kapit
Kapit yang dahulunya dianggap agak terpencil kini semakin mudah dikunjungi, sekali gus menarik kehadiran pengunjung dari luar kawasan termasuk Sibu yang mengambil peluang berkunjung ke bandar itu, terutama pada hujung minggu.
Bandar Kapit
Peningkatan pergerakan pengunjung tersebut turut memberikan limpahan manfaat kepada peniaga tempatan apabila lebih ramai orang berpeluang mengenali produk, makanan dan hasil kraf yang ditawarkan masyarakat setempat.
Antara lokasi yang terus menjadi tumpuan ialah Market Teresang, sebuah pasar yang bukan sekadar menjadi tempat urusan jual beli, malah berperanan sebagai ruang masyarakat mengekalkan warisan budaya dan tradisi masyarakat Iban melalui pelbagai produk yang dipasarkan.
Di sebalik deretan gerai dan pelbagai barangan jualan, terdapat kisah peniaga tempatan yang terus mempertahankan tradisi turun-temurun, selain menyesuaikan produk mereka dengan perubahan cita rasa dan keperluan masyarakat moden.
Bagi Demit Tujang, yang berasal dari Baleh, Kapit, perniagaan yang diusahakannya sejak kira-kira 20 tahun lalu bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi turut menjadi usaha memastikan kelangsungan amalan tradisional masyarakat Iban.
Demit menunjukkan ‘senupat’, salah satu bahan penting dalam penyendiaan ‘piring’.
Beliau mengusahakan perniagaan menjual pelbagai bahan untuk penyediaan miring, iaitu satu amalan tradisi masyarakat Iban yang masih diamalkan sehingga kini, meskipun masyarakat semakin terdedah kepada kehidupan moden.
Antara bahan yang dijual termasuk ‘ruku’, ‘sedi’, ‘sungki’, ‘senupat’, ‘rendai’, ‘kapu’, ‘semakau’, ‘tumpi’ dan ‘sirih’, yang mempunyai kegunaan tersendiri dalam penyediaan piring mengikut adat dan keperluan sesuatu upacara.
Demit Tujang
Menurut Demit, permintaan terhadap bahan berkenaan masih menggalakkan, khususnya dalam kalangan penduduk tempatan yang terus mengamalkan adat dan tradisi masyarakat Iban.
“Permintaan lazimnya meningkat menjelang Disember dan lebih ketara ketika sambutan Gawai Dayak apabila masyarakat membuat persiapan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti serta upacara,” ujarnya ketika ditemui Kembara UKAS 2.0.
Menariknya, penggunaan bahan untuk penyediaan piring bukan hanya terhad kepada sambutan Gawai Dayak, sebaliknya turut diperlukan dalam majlis dan upacara tertentu sepanjang tahun.
Keadaan itu membuktikan bahawa amalan tradisional masih mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat, sekali gus memastikan permintaan terhadap bahan berkaitan terus wujud.
Selain bahan piring, Demit turut menjual lilin yang digunakan dalam penghasilan kraf tradisional masyarakat Iban, termasuk ‘marik’ serta pelbagai hasil tenunan dan kerja tangan lain.
Kepelbagaian barangan yang ditawarkan menjadikan gerainya antara tempat yang boleh dikunjungi mereka yang ingin mendapatkan bahan berkaitan adat, seni dan kebudayaan masyarakat Iban.
Kreativiti mengangkat warisan ke pasaran moden
Jika Demit mengekalkan tradisi melalui penjualan bahan penyediaan piring, seorang lagi peniaga di Market Teresang, Jawai Sampai, memilih pendekatan kreatif dengan menghasilkan sendiri pelbagai produk kraf yang menggabungkan motif tradisional Iban dengan penggunaan bahan lebih moden.
Berasal dari Rumah Melintang Tukau, Sebiru, Gaat, Kapit, Jawai sudah kira-kira 10 tahun mengusahakan perniagaan di pasar berkenaan dengan menghasilkan beg, bakul dan ‘belanyat’ menggunakan bahan plastik.
Jawai Sampai menunjukkan produk beliau.
Berbeza dengan kaedah tradisional yang lazimnya menggunakan rotan, beliau menggunakan bahan plastik sebagai alternatif bagi menghasilkan produk yang lebih moden tanpa mengetepikan identiti seni anyaman masyarakat Iban.
Keistimewaan hasil tangannya terletak pada penggunaan pelbagai motif tradisional yang diinspirasikan daripada alam dan corak warisan masyarakat Iban.
“Antara motif tradisional yang digunakan termasuk ‘Buah Bunut’, ‘Buah Andu’, ‘Buah Uduk’ dan ‘Anyam’ Bebuah yang memberikan identiti tersendiri kepada setiap hasil kraf yang dihasilkan,” ujarnya.
Lebih membanggakan, setiap produk tersebut dihasilkan sendiri oleh Jawai menggunakan kreativiti dan kemahirannya, sekali gus menjadikan perniagaan itu satu bentuk usaha kecil yang berteraskan kemahiran tempatan.
Menurut beliau, hasil kraf berkenaan mendapat sambutan menggalakkan, khususnya daripada pelanggan yang mempunyai minat terhadap motif, corak dan seni warisan masyarakat Iban.
Penggunaan bahan plastik turut memperlihatkan bagaimana seni kraf tradisional boleh disesuaikan dengan perubahan semasa tanpa menghilangkan nilai estetika dan identiti budaya asal.
Pendekatan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada seni anyaman untuk terus berkembang, selain menjadikan produk berasaskan motif tradisional lebih mudah dipasarkan kepada pelbagai lapisan pelanggan.
Selain hasil kraf, Jawai turut menjual ragi dan tuak yang dihasilkannya sendiri, selain beberapa produk lain termasuk bahan untuk penyediaan piring.
Kepelbagaian produk tersebut membolehkan beliau menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang berkunjung ke gerainya, khususnya mereka yang ingin mendapatkan barangan tradisional dan hasil tempatan dalam satu lokasi.
Antara kraftangan tradisional yang boleh didapati di Market Teresang, Kapit.
Pembangunan Dan Warisan Bergerak Seiring
Perkongsian Demit dan Jawai memperlihatkan peranan penting peniaga kecil dalam menghidupkan ekonomi setempat, khususnya apabila kemudahan perhubungan semakin baik dan jumlah pengunjung ke Kapit terus bertambah.
Kemudahan Jalan Sibu-Kapit bukan sahaja memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan dan menjalankan urusan harian, malah memberikan peluang kepada peniaga tempatan memperluas pasaran serta menarik pelanggan dari luar kawasan.
Dalam masa sama, Market Teresang mempunyai keunikan tersendiri kerana menawarkan lebih daripada sekadar aktiviti perdagangan apabila menjadi ruang untuk masyarakat memperkenalkan adat, makanan, hasil kraf dan identiti budaya kepada pengunjung.
Kehadiran pengunjung luar, termasuk dari Sibu, turut membuka peluang kepada produk tempatan untuk lebih dikenali, sekali gus membantu mengekalkan permintaan terhadap hasil tangan dan barangan tradisional masyarakat Iban.
Hakikatnya, kemajuan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada pembangunan jalan raya, bangunan atau kemudahan fizikal, tetapi turut melibatkan keupayaan masyarakat memanfaatkan kemudahan tersebut untuk mengembangkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan.
Bandar Kapit
Di Kapit, pembangunan infrastruktur menyediakan laluan kepada pertumbuhan, manakala ketekunan peniaga seperti Demit dan Jawai memastikan identiti serta warisan masyarakat terus mempunyai nilai dalam arus pemodenan.
Melalui usaha kecil yang dilakukan setiap hari di Market Teresang, kedua-dua peniaga itu membuktikan bahawa tradisi bukan sesuatu yang perlu ditinggalkan apabila masyarakat bergerak ke arah kemajuan.
Sebaliknya, warisan boleh terus dipelihara, diperbaharui dan dijadikan sumber ekonomi, sekali gus memastikan keunikan Kapit kekal menjadi tarikan kepada generasi hari ini dan akan datang. -UKAS