Bandar Nanas Sarikei: Pembangunan Membuka Peluang, Usahawan Menjadi Pemacu Kemajuan
Pembangunan sesebuah bandar bukan sekadar diukur melalui kemunculan bangunan baharu, jaringan jalan raya atau pertambahan kemudahan awam, sebaliknya turut dinilai berdasarkan sejauh mana perubahan itu membuka peluang ekonomi, menyediakan pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Di Sarikei, perubahan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan perkembangan yang semakin ketara, khususnya dalam aspek perniagaan, kemudahan perhubungan dan potensi pembangunan kawasan bandar.
Bandar yang cukup sinonim dengan gelaran Bandar Nanas itu kini berdepan fasa pertumbuhan baharu apabila peningkatan hubungan antara kawasan pesisir dengan pusat bandar merancakkan pergerakan penduduk, sekali gus mewujudkan permintaan terhadap kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik.
Perkara itu antara yang dikongsikan Pemanca Sarikei, Chan Phan Chan, ketika ditemui pasukan Kembara UKAS 2.0, yang melihat pembangunan infrastruktur sebagai antara faktor penting dalam mengubah landskap ekonomi bandar berkenaan.
Pemanca Sarikei, Chan Phan Chan
Menurut beliau, penyiapan Jambatan Batang Rajang atau lebih dikenali sebagai Jambatan Sarikei membawa perubahan besar kepada corak pergerakan penduduk, khususnya dari kawasan pesisir yang kini mempunyai akses lebih mudah untuk berkunjung ke bandar.
Jambatan Batang Rajang
“Jika sebelum ini perjalanan ke Sarikei mengambil masa lebih panjang, kemudahan jambatan berkenaan membolehkan penduduk dari kawasan tertentu sampai ke bandar dalam tempoh yang lebih singkat lagi, sekali gus menjadikan Sarikei antara destinasi pilihan untuk mendapatkan barangan, menjalankan urusan dan menikmati kemudahan perniagaan,” ujarnya.
Beliau melihat perancangan pembangunan bandar baharu di Sungai Pasi dan Selidap sebagai antara usaha yang berpotensi menyediakan ruang pertumbuhan seterusnya kepada Sarikei.
Pembangunan berkenaan, yang dikaitkan dengan inisiatif penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok, Datuk Huang Tiong Sii, dilihat mampu membuka ruang baharu kepada kegiatan perniagaan, perumahan dan kemudahan bandar sekiranya dilaksanakan secara terancang.
Bagi Chan, kemudahan infrastruktur yang semakin baik perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi supaya Sarikei bukan sahaja menjadi tempat persinggahan pengunjung, malah berkembang sebagai pusat aktiviti ekonomi yang mampu menarik lebih banyak pelaburan.
Usahawan tempatan membuktikan potensi Sarikei
Selain pembangunan fizikal, kekuatan ekonomi Sarikei turut terserlah melalui kisah kejayaan usahawan tempatan yang berjaya membina perniagaan daripada permulaan kecil sehingga berkembang ke peringkat lebih luas.
Antara contoh yang menarik ialah perjalanan seorang usahawan tempatan, Lau Diew Lung, yang membuktikan bahawa kegagalan bukan penghalang untuk membina kejayaan sekiranya seseorang mempunyai keberanian mencuba, kesungguhan dan keupayaan mengenal pasti peluang pasaran.
Lau Diew Lung dan isteri menunjukkan produk beliau.
Memulakan kerjaya sebagai tukang masak selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Lau pernah bekerja di beberapa tempat sebelum memberanikan diri menceburi bidang perniagaan.
Beliau pernah mengusahakan gerai makanan di Bintulu, Sarikei dan Jakar, namun perjalanan awalnya tidak sentiasa berjalan lancar apabila beberapa percubaan perniagaan mengalami kerugian sehingga menyebabkan beliau terpaksa memulakan semula langkah dari bawah.
Bagaimanapun, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk mencari bidang perniagaan yang lebih berpotensi.
Melihat masyarakat Cina di Sarawak mempunyai kecenderungan terhadap makanan seperti ‘shumai’ dan bebola ikan, Lau mula memikirkan bagaimana menghasilkan produk yang mempunyai cita rasa tersendiri serta mampu memenuhi permintaan pasaran.
Keputusan untuk memberikan tumpuan kepada penghasilan shumai kira-kira 10 tahun sebelum pandemik COVID-19 akhirnya menjadi titik perubahan dalam perjalanan perniagaannya.
Bermula dengan usaha menghasilkan produk sendiri, perniagaan itu berkembang sehingga beliau berjaya membina rangkaian ejen di seluruh Sarawak termasuk Brunei.
“Kita sekarang ada kilang pengeluaran di Jakar, Sarikei, yang kini mempunyai kira-kira 50 pekerja,” katanya.
Perniagaannya kemudian berkembang ke sektor makanan dan hospitaliti menerusi pembukaan restoran New Grand Palace yang menyediakan kira-kira 20 peluang pekerjaan.
Tidak terhenti di situ, Lau turut meneroka bidang pelancongan dengan membangunkan sebuah resort di kawasan seluas kira-kira empat ekar yang masih dalam pembinaan.
Menariknya, kawasan tersebut mempunyai banyak pokok durian yang dirancang menjadi antara tarikan utama apabila pengunjung berpeluang menikmati pengalaman memetik buah secara langsung ketika musim durian tiba.
Dalam sektor pertanian dan penternakan pula, beliau turut mengusahakan dua ladang khinzir yang kini menjadi antara fokus perniagaannya.
Pengalaman berdepan kerugian akibat wabak African Swine Fever (ASF) yang menyebabkan kematian ternakan sebelum ini mendorong beliau menilai semula pendekatan penternakan, termasuk memberi tumpuan kepada baka hibrid.
Kisah Lau memperlihatkan bagaimana peluang ekonomi di Sarikei boleh diteroka dalam pelbagai sektor, daripada pemprosesan makanan kepada perkhidmatan, pelancongan dan pertanian.
Peluang Pekerjaan Penting Untuk Mengekalkan Bakat Anak Tempatan
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan infrastruktur dan kejayaan usahawan tempatan, Sarikei masih berdepan cabaran penting yang memerlukan perhatian berterusan, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wah Man, Liaw Sui Cheng, berpandangan tempoh lima tahun akan datang amat penting bagi kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan industri dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Sarikei serta kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, antara keutamaan ialah menarik lebih banyak pembukaan kilang dan industri di Sarikei, Sibu serta Tanjung Manis supaya anak muda tempatan mempunyai pilihan pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke Semenanjung Malaysia atau bandar lain.
“Ramai anak muda, termasuk keluarga saya sendiri terpaksa meninggalkan Sarikei untuk mencari pekerjaan kerana peluang kerjaya yang bersesuaian masih terhad.
“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga yang terpisah dari segi jarak, malah berpotensi menyebabkan Sarikei kehilangan tenaga kerja muda yang sepatutnya menjadi penggerak pembangunan ekonomi tempatan,” jelasnya.
Liaw turut mengaitkan keperluan menyediakan peluang pekerjaan dengan inisiatif pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan kerajaan Sarawak melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
Menurut beliau, usaha memperluas akses pendidikan perlu disusuli dengan peluang pekerjaan yang mencukupi supaya anak muda berpendidikan tinggi dapat membina kerjaya di negeri sendiri selepas menamatkan pengajian.
Pandangan itu turut disokong guru SJKC Sze Lu, Chan Lih Ming, yang melihat pertambahan penduduk sebagai satu lagi aspek penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan Sarikei.
Beliau menyeru golongan muda tempatan supaya tidak terlalu menangguhkan perancangan berkeluarga, malah menggalakkan mereka mempunyai lebih daripada dua orang anak bagi membantu meningkatkan jumlah penduduk pada masa hadapan.
Secara berseloroh, beliau turut berkongsi bahawa dirinya sendiri hanya mempunyai seorang anak, sekali gus menjadikan seruan tersebut satu peringatan tentang pentingnya kesedaran bersama dalam menghadapi cabaran pertumbuhan penduduk.
Hakikatnya, pertambahan penduduk perlu bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan peluang pekerjaan agar generasi seterusnya mempunyai persekitaran yang kondusif untuk membesar dan membina kehidupan.
Membina Sarikei untuk generasi akan datang
Perkongsian empat individu yang ditemui sepanjang Kembara UKAS 2.0 di Sarikei memperlihatkan bahawa aspirasi pembangunan bandar itu mempunyai dimensi yang saling berkait.
Daripada kemudahan jambatan yang memudahkan pergerakan penduduk, perancangan bandar baharu yang membuka ruang pertumbuhan, hinggalah kejayaan usahawan tempatan yang mencipta peluang pekerjaan, semuanya menjadi sebahagian daripada gambaran perubahan yang sedang berlaku di Sarikei.
Namun, pembangunan yang mampan memerlukan lebih daripada sekadar kemajuan fizikal. Ia perlu disokong oleh pertumbuhan industri, peluang pekerjaan berkualiti serta persekitaran yang mampu meyakinkan generasi muda untuk terus menetap dan membina masa depan di tanah kelahiran sendiri.
Sarikei mempunyai asas ekonomi, kedudukan strategik dan potensi yang boleh terus dikembangkan. Cabaran seterusnya adalah memastikan setiap pembangunan yang dirancang memberikan manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.
Akhirnya, kejayaan pembangunan Bandar Nanas bukan hanya terletak pada sejauh mana bandar itu berkembang, tetapi sejauh mana anak-anak Sarikei mempunyai peluang untuk bekerja, berniaga, membina keluarga dan menikmati kehidupan yang lebih baik tanpa perlu meninggalkan tempat asal mereka. -UKAS