Pertambahan Ahli MMKN Perkukuh Struktur Pentadbiran Sarawak
KUCHING: Cadangan pelantikan tambahan sehingga empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan pentadbiran negeri kekal responsif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, cadangan ini penting bagi menyediakan struktur kepimpinan yang lebih tersusun untuk menyokong pelaksanaan pembangunan pesat negeri termasuk dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Beban tugas kementerian semakin meningkat dan portfolio perlu lebih khusus agar setiap sektor diberi perhatian sewajarnya.
“Pindaan ini membolehkan pengagihan tanggungjawab yang lebih teratur,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Beliau menegaskan had maksima empat ahli tambahan MMKN merupakan mekanisme terkawal yang memastikan Kabinet tidak diperbesarkan secara berlebihan tetapi tetap mampu meningkatkan kecekapan dan penyelarasan dasar kerajaan.
Royston berkata pindaan melalui RUU tersebut juga membuka ruang kepada lebih ramai wakil rakyat menyumbang kepakaran, sekali gus memperkayakan pandangan dalam proses merangka dasar negeri.
Katanya, Sarawak berada pada fasa pembangunan pesat dan memerlukan kapasiti kepimpinan yang mencukupi untuk mencapai aspirasi negeri maju menjelang 2030. -EDISI UKAS