Sarawak Perkukuh Akses Bekalan Air & Elektrik Dengan Peruntukan Lebih RM1 Bilion Dalam Belanjawan 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuh usaha meningkatkan akses perkhidmatan asas rakyat menerusi peruntukan melebihi RM1 bilion bagi memperluas liputan bekalan air bersih dan elektrik khususnya di kawasan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan perkhidmatan asas terus dipertingkat secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan rakyat di seluruh negeri.
Menurut beliau, Sarawak kini mencapai 86 peratus liputan bekalan air secara keseluruhan dengan 100 peratus di kawasan bandar dan 70 peratus di luar bandar.
"Selaras dengan Sarawak Water Supply Master Plan, kerajaan memberi tumpuan kepada peluasan akses ke kawasan sukar diliputi grid menerusi inisiatif Water Supply Grid dan Sistem Alternatif Bekalan Air Sarawak (SAWAS).
"Bagi melaksana pelbagai projek strategik tersebut, RM409 juta diperuntukkan pada 2026 merangkumi Loji Rawatan Air Wilayah Engkilili, Sri Aman, naik taraf Loji Rawatan Air Salim, Sibu
"Seterusnya projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II, naik taraf Loji Rawatan Air No.4 Batu Kitang, Loji Rawatan Air Mukah, pembinaan paip bagi Program Darul Hana dan Loji Bekalan Air Wilayah Lundu/Sematan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, selain itu, RM402 juta diperuntukkan melalui Alternative Funding bagi melaksanakan Sarawak Water Supply Grid Program for Stressed Areas serta program menaik taraf dan menggantikan paip-paip lama.
Jelasnya, program air percuma yang memberi subsidi RM5 pertama bil air domestik sejak 2020 akan diteruskan pada 2026 dengan RM21 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Muller Asen
Foto: Muhammad Rais Sanusi & Jaed Tepus