Sarawak Perkukuh Akses Rumah Mampu Milik Golongan B40 & M40
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) memiliki akses kepada perumahan selesa melalui projek perumahan mampu milik dan skim pembiayaan rumah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan memperuntukkan RM121 juta kepada Housing Development Corporation (HDC) bagi melaksanakan 11 projek perumahan mampu milik, membabitkan 1,547 unit di Kuching, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
Tambahnya, sejumlah RM20 juta turut disalurkan kepada Mutiara Mortgage and Credit Sdn. Bhd. bagi menyokong pembiayaan rumah kepada golongan B40 dan M40, memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.
“Sehingga September 2025, sebanyak RM83.5 juta telah disalurkan kepada 1,371 pembeli rumah yang layak.
"Inisiatif ini bukan sahaja membina rumah, tetapi juga memberikan peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah sendiri dengan kos yang mampu ditanggung, sekali gus meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kerajaan Sarawak juga terus menumpukan kepada pembangunan rumah panjang dan skim bantuan sewa untuk golongan B40, bagu memastikan semua lapisan masyarakat menikmati kediaman yang selamat dan selesa.
Tegasnya lagi, langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta memastikan rakyat Sarawak hidup lebih sejahtera.-EDISI UKAS