Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 Diluluskan
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bangunan (Pindaan) 2025, satu pindaan penting yang bertujuan mengemas kini Ordinan Bangunan 1994 agar selaras dengan perkembangan pesat industri pembinaan, standard kelestarian global dan keperluan keselamatan masa kini.
Kelulusan itu diumumkan Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Idris Buang selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19.
Terdahulu, RUU berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, sebelum menerima sokongan semasa sesi perbahasan daripada beberapa ADUN yang menegaskan keperluan menstruktur semula rangka kawal selia pembinaan bagi memenuhi tuntutan pembangunan semasa.
Dalam pembentangan RUU tersebut, beliau menjelaskan bahawa pembaharuan teras pindaan itu ialah penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak (SBB) sebagai sebuah badan berkanun yang akan mengawal selia amalan pembinaan, menyelaras standard teknikal serta mengurus Tabung Lembaga Bangunan Sarawak atau Sarawak Building Board Fund untuk membiayai penyelidikan, latihan, digitalisasi dan pensijilan profesional.
Ujarnya, Sarawak juga bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewajibkan amalan bangunan hijau, termasuk pematuhan terhadap alat penarafan lestari, pendaftaran pengamal serta badan pensijilan hijau, selain pelantikan Pendaftar dan Timbalan Pendaftar Bangunan Hijau.
Tambah Datuk Amar Dr Sim, RUU tersebut turut memperkukuh kawal selia terhadap arkitek, jurutera, qualified persons dan pendaftaran accredited checkers, di samping menubuhkan sebuah badan disiplin bagi menangani salah laku profesional.
“Ini penting untuk menjamin keselamatan awam dan meningkatkan keyakinan terhadap standard profesional di Sarawak,” tegasnya.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan turut diberikan kuasa untuk menawarkan kompaun sehingga dua pertiga daripada kadar denda maksimum, manakala Jadual Pertama dikemas kini bagi menyenaraikan semua PBT baharu.
Beliau menutup pembentangannya dengan menyatakan bahawa pindaan ini merupakan langkah transformasi besar dalam memastikan pembangunan Sarawak lebih moden, selamat dan seiring standard global.-EDISI UKAS