Sarawak Beri Sokongan Penuh Kepada Dasar TVET 2030
MIRI: Kerajaan Sarawak akan memberi sokongan penuh kepada Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2030.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan negeri ini memberi sokongan kepada dasar ini adalah dengan melengkapi polisi yang sedia ada di peringkat negeri.
"Ini adalah seperti digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek peningkatan dengan sebanyak 20 peratus enrolmen pelajar TVET akan menjadi modal insan dalam pembangunan ekonomi Sarawak iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
"SCORE merupakan koridor ekonomi baharu yang meliputi wilayah tengah ke wilayah utara Sarawak dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi baharu di Tanjung Manis, Mukah, Tunoh, Baram, Limbang & Lawas," katanya.
Beliau berkata demikian di dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Ahli Majlis Bandaraya Miri Cr. Jeffery Phang Siaw Foong semasa Program Outreach Jelajah MADANI Jom Masuk TVET Zon Sarawak 2024 di sini pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, TVET pada hari ini dilihat sebagai satu ‘game changer’ pada sistem pendidikan hari ini.
"TVET seharusnya menjadi keutamaan kepada belia dalam menyambung pengajian kerana ia menjanjikan kebolehpasaran yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus dan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada industri," tambahnya.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Ts Zuleah Darsong, Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Ts Mustal Makmud dan Pegawai Pendidikan Daerah Miri Mariam Mone. -EDISI UKAS