RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 Jadi Landasan Penting Bentuk Ekosistem Ekonomi Kitaran Mampan
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 dijangka menjadi landasan penting dalam membentuk ekosistem ekonomi kitaran (circular economy) yang mampan di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata, RUU berkenaan merupakan satu langkah proaktif untuk menjadikan Sarawak peneraju serantau dalam peralihan global ke arah ekonomi kitaran.
“RUU ini merupakan peristiwa penting yang tepat pada masanya dan berpandangan ke hadapan untuk Sarawak.
“Ia meletakkan Negeri kita sebagai peneraju serantau dalam peralihan global ke arah ekonomi kitaran, mengalihkan kita daripada pemikiran "guna dan buang" dan ke arah pengurusan sumber yang bijak dan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.
Chieng menegaskan RUU ini patut disokong kerana ia menubuhkan Pihak Berkuasa Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa yang menyatukan kepakaran pelbagai pihak untuk pengurusan sumber dan sisa yang lebih terancang, bersepadu, dan berakauntabiliti.
Selain itu, menurut beliau, RUU itu juga memupuk ekonomi kitaran dengan mentakrifkan semula “sisa” sebagai sumber bernilai, menggalakkan kitar semula, pemulihan, dan inovasi hijau, sekaligus membuka peluang ekonomi baharu dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau menambah, ia juga menyediakan kerangka pematuhan dan penguatkuasaan yang jelas, termasuk sistem lesen dan penalti yang berkesan, bagi memastikan pengurusan sisa dilaksanakan dengan penuh disiplin dan tanggungjawab.
Chieng turut menekankan bahawa usaha ini perlu menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan komuniti luar bandar.
Beliau berkata, kos pematuhan seperti infrastruktur pengasingan atau yuran pelesenan, tidak seharusnya menjadi beban yang tidak wajar, terutamanya untuk perniagaan kecil atau penempatan rumah panjang.
Justeru, beliau menggesa Pihak Berkuasa untuk meneroka insentif yang disasarkan, garis masa pelaksanaan berperingkat, dan program bantuan teknikal untuk memastikan penyertaan adalah inklusif.
“Masa depan yang mampan mestilah adil dan boleh diakses oleh semua, bukan sahaja oleh pemain industri besar,” tegasnya.-EDISI UKAS