SARIKEI: Usaha meningkatkan pembangunan di Sare terus diperkasa melalui pelaksanaan pelbagai projek prasarana dan kemudahan asas yang memberi manfaat langsung kepada penduduk di kawasan itu.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM12.6 juta untuk melaksanakan pelbagai projek sejak lima tahun lalu sekaligus memastikan Sare tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Sebahagian besar projek katanya, meliputi kemudahan asas, infrastruktur serta prasarana masyarakat bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus ditingkatkan.
"Dana berkenaan disalurkan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Mesra Rakyat (PMR), Jalan Perhubungan Desa dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS)," katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Sare baru-baru ini.
Beliau berkata, selain pelbagai program sedia ada, pelaksanaan pembangunan turut dibantu Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Melalui RADDA, katanya, sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf jalan perhubungan utama Rumah Panjang Sare serta prasarana dan perkarangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Ming, Sungai Pelong.
"Semua projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membela kepentingan rakyat luar bandar dan berharap sokongan masyarakat diteruskan demi kesinambungan pembangunan di Sare," jelasnya.
Antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk menaik taraf perkarangan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Adin Sare serta pelebaran jalan simen menuju Rumah Gani Sare.
Kerja menaik taraf jalan Rumah Panjang Trieh Sigat dan penambahbaikan laluan masuk serta perkarangan Rumah Panjang Merupie Bidat turut disiapkan.
Selain itu, kerajaan turut menaik taraf jalan dan tapak perkarangan Rumah Panjang Resat Udin serta membina jambatan baharu menuju Gereja dan SK Adin.
“Kerajaan juga memberi perhatian kepada kerja baik pulih bangunan Tabika KEMAS Sungai Teras serta jalan utama yang menghubungkan Rumah Panjang Sare Utara,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS