RUU Bangunan (Pindaan) 2025 Tingkatkan Standard Hijau, Kukuhkan Keyakinan Pelabur
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Bangunan (Pindaan) 2025 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin akan meningkatkan rangka kerja bangunan hijau di Sarawak serta memastikan standard pembangunan yang lebih jelas dan konsisten.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata, RUU ini memperkenalkan sebuah lembaga pengawalseliaan yang akan memastikan hanya arkitek dan jurutera bertauliah serta berkelayakan dibenarkan menjalankan kerja bangunan hijau, sekali gus mengelakkan pengamal tidak bertauliah daripada beroperasi di negeri ini.
"Lembaga Bangunan Sarawak akan meningkatkan profesionalisme dan melindungi orang awam dengan mengesahkan kelayakan serta menetapkan standard yang jelas,” katanya dalam sidang media di Kompleks DUN Sarawak pada Selasa.
Beliau turut menekankan bahawa RUU ini dirangka untuk memperkemas proses kelulusan dengan menghapuskan tafsiran tidak konsisten antara pihak berkuasa tempatan dan perunding yang ketika ini menyebabkan kelewatan.
“RUU ini mewujudkan kejelasan, tiada kelewatan. Satu lembaga dan satu standard akan membantu pihak berkuasa meluluskan pelan dengan lebih cekap,” katanya.
Beliau menambah, tadbir urus yang lebih kukuh serta keperluan teknikal yang lebih jelas akan meletakkan Sarawak pada kedudukan lebih kompetitif dalam ekonomi hijau global di samping menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih baik di seluruh negeri. -EDISI UKAS
Wartawan: Alezxandria Kapple
Penterjemah: Mia Amira
Jurugambar: Jaed Tepus