Aspek Kritikal RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 Perlu Diberi Perhatian
KUCHING: Beberapa aspek penting dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 perlu diberi perhatian untuk memastikan pelaksanaannya berkesan, telus, dan tidak membebankan rakyat Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata walaupun RUU ini disediakan dengan jelas dan menyeluruh, beberapa isu kritikal memerlukan perhatian termasuk definisi bahan lestari, pemberian lesen, levi, dan penguatkuasaan.
Beliau berkata, istilah “bahan lestari” sepatutnya digantikan dengan “bahan boleh dipulih”, kerana sumber semula jadi adalah terhad.
“Ini penting bagi mencapai ekonomi kitaran yang lebih mampan. Namun, atas sebab kesesuaian politik dan konvensyen antarabangsa, istilah “bahan lestari” digunakan.
“Kelestarian sebenarnya terhasil daripada sistem yang baik untuk memaksimumkan penggunaan bahan terhad supaya bertahan lebih lama dan mengelakkan perubahan besar yang biasanya mahal dan berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.
Datuk Ding turut merujuk Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Alam Sekitar untuk mengawal selia sisa perbandaran dan sumber semula jadi, termasuk udara, biodiversiti, mineral, minyak, gas, hasil hutan, tanah, haiwan, tumbuhan, serta kehidupan marin dan akuatik di Sarawak.
Beliau berharap RUU tersebut tidak bertujuan untuk membentuk monopoli, sebaliknya hanya sebagai mekanisme kawal selia walaupun RUU ia merangkumi semua jenis sisa.
Beliau menegaskan bahawa dengan penalti antara RM25,000 hingga RM25 juta, pelaksanaannya perlu disokong tadbir urus yang kukuh bagi mengelakkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Selain itu, katanya, proses pemberian lesen juga perlu dijalankan secara terbuka dan telus.
Datuk Ding juga turut menekankan mengenai isu levi ke atas barangan atau perkhidmatan yang perlu dipertimbangkan dengan teliti supaya tidak membebankan rakyat Sarawak.
Beliau berkata, Pihak Berkuasa perlu merangka peraturan dan dasar yang baik, disokong oleh penyertaan sektor swasta yang inovatif serta tadbir urus yang kukuh yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Sarawak, tetapi juga dunia dalam usaha kelestarian.-EDISI UKAS