RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 Sejajar Standard ESG
KUCHING: Sarawak kini berada pada kedudukan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi apabila RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 digambarkan sebagai langkah penting memperkukuh pematuhan negeri terhadap standard ESG sekaligus menjadikan Sarawak destinasi pelaburan global yang lebih diyakini dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin menegaskan RUU tersebut bukan sahaja penting untuk pengurusan alam sekitar, tetapi turut menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan keyakinan pelabur yang kini semakin menitikberatkan pematuhan kepada piawaian Environmental, Social and Governance (ESG).
“Hari ini dunia menilai pelaburan berdasarkan standard ESG."
"RUU ini menghantar mesej jelas bahawa Sarawak adalah negeri yang bertanggungjawab, bersedia dan komited terhadap amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.
Beliau menambah, RUU berkenaan menyediakan satu kerangka perundangan yang lengkap bagi menguruskan sumber dan sisa secara efisien, bersepadu dan moden serta memastikan aktiviti industri selaras dengan keperluan kelestarian global.
“Dengan sistem pengurusan sisa yang lebih teratur, pemantauan yang ketat dan standard pelaporan yang lebih jelas, pelabur antarabangsa dapat melihat bahawa Sarawak bukan sahaja kaya dengan sumber, tetapi juga mempunyai dasar yang telus dan boleh diyakini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menambah bahawa komitmen Sarawak terhadap kelestarian turut membuka peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan berkaitan industri hijau, teknologi kitar semula, tenaga boleh diperbaharui serta inovasi waste-to-wealth.-EDISI UKAS