Transformasi Bintulu Port Ke Arah Pelabuhan Pintar & Hijau
BINTULU: Transformasi Bintulu Port ke arah pelabuhan pintar dan hijau diperkukuh melalui pengenalan teknologi baharu termasuk dron autonomi, sistem ‘Smart Gate’ dan platform operasi pelabuhan generasi seterusnya.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, inisiatif itu seiring dengan aspirasi Malaysia sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) 2030.
“Hari ini bukan sekadar satu sambutan, tetapi satu deklarasi bahawa kita sudah bersedia untuk menggalas masa depan, di mana teknologi dan kelestarian bergerak seiring bagi memacu kemakmuran negara.
“Paling penting, ia menegaskan bahawa Malaysia, khususnya Sarawak, berada pada kedudukan untuk menerajui era infrastruktur pintar, hijau dan berasaskan digital,” katanya ketika berucap merasmikan Bintulu Port Digital Day 2025 di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato’ Ruslan Abdul Ghani berkata, pelabuhan tersebut kini memasuki fasa pecutan digital dengan matlamat menjadi Pelabuhan Operasi Bersepadu Sepenuhnya menjelang 2026.
“Sasaran pertama yang ditetapkan dalam rangka kerja kami adalah menjadi Pelabuhan Operasi Bersepadu Sepenuhnya menjelang 2026, di mana semua sistem disambungkan tanpa gangguan dan aliran data bergerak secara masa nyata.
“Seterusnya, kami beraspirasi untuk menjadi Pelabuhan Digital Sepenuhnya menjelang 2030, dengan memperkemas serta mengautomasikan proses bagi mengurangkan halangan, meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan lebih unggul,” tambahnya.
Menurut Ruslan, komitmen itu merangkumi usaha menjadikan pelabuhan berkenaan sebagai Pelabuhan Automasi Sepenuhnya menjelang 2050 dengan memanfaatkan robotik maju, kecerdasan buatan serta sistem autonomi bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan produktiviti.
“Namun, pada kadar kemajuan semasa, sasaran ini mungkin dapat dicapai lebih awal,” katanya.
Beliau memberitahu, penggunaan dron autonomi mampu menggantikan operasi tiga bot rondaan dengan liputan lebih luas, manakala sistem ‘Smart Gate’ mempercepatkan kemasukan lori daripada 15 minit kepada hanya beberapa saat.-EDISI UKAS