Isu Tekanan Air Kampung Baru Diberi Perhatian, Kerajaan Percepat Naik Taraf Sistem Paip Demi Keselesaan Rakyat
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana lebih RM300 juta untuk menaik taraf serta penggantian paip lama di seluruh kawasan Kota Samarahan termasuk di Kampung Baru yang kini sering mengalami masalah bekalan air.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, dana yang diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ini adalah untuk menggantikan sistem lama yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan tekanan air, malah mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini berada pada tahap tinggi.
“Projek tersebut telah melalui proses tender dan dijangka dianugerahkan pada hujung bulan ini di mana pelaksanaannya akan mengambil masa selama 12 bulan, dan kerajaan yakin penggunaan sistem perpaipan serta meter baharu akan meningkatkan kualiti bekalan air dengan ketara.
“Pada masa sama, usaha ini turut memberi tumpuan kepada pengurangan kadar kehilangan air dalam sistem saluran, sekali gus membolehkan isu tersebut ditangani dengan lebih berkesan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengadakan tinjauan di Kampung Baru, di sini, pada Jumaat.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau pelaksanaan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan penduduk Kampung Baru menikmati bekalan air yang stabil dan mencukupi.
Mengulas mengenai lawatan pada hari itu, beliau bersama Sarawak Water, dan pihak pentadbiran daerah mendapati isu bekalan air berpunca daripada pertambahan penduduk serta sistem perpaipan lama yang tidak lagi mampu menampung permintaan semasa.
Malah jelasnya, walaupun sistem perpaipan baharu di Kampung Baru kini hampir siap sepenuhnya, masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air, khususnya akibat tekanan air rendah.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa usaha penyambungan semula paip yang tergendala sebelum ini telah berjaya disiapkan sepenuhnya oleh pihak Sarawak Water, meskipun berdepan cabaran termasuk kes kecurian paip yang menjejaskan kemajuan projek menjelang musim perayaan lalu.
“Ketika sambutan Hari Raya, bekalan air terpaksa disalurkan melalui lori tangki. Namun kaedah ini mempunyai kekangan dari segi capaian ke kawasan tertentu berikutan laluan sempit di Kampung Baru,” jelasnya.
Antara punca lain berlarutannya masalah ini ialah sistem paip lama yang sukar dikesan kedudukannya selain faktor kedudukan rumah yang terlalu rapat, menyukarkan kerja penyelenggaraan dan naik taraf.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd Malseni Jamal, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Penghulu Kampung Baru Man Mok, Ketua Kaum Kampung Baru Hulu Juli Mohammad dan Ketua Kaum Kampung Baru Hilir Dolhadi Janie. -EDISI UKAS