Semangat ‘Segulai Sejalai’ perkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Miri
MIRI: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak diserlahkan menerusi Majlis Segulai Sejalai Hari Gawai anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Miri bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bahagian Miri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata majlis tersebut bukan sekadar sambutan Hari Gawai, malah menjadi simbol keunikan Sarawak yang berjaya mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya sejak sekian lama.
Menurut beliau, tema “Segulai Sejalai” yang membawa maksud berjalan bersama sebagai satu keluarga amat bertepatan dengan identiti rakyat Sarawak yang sentiasa menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan dan bukannya pemisah.
“Di Sarawak, kita meraikan Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas dan pelbagai perayaan lain bersama-sama sebagai sebuah keluarga besar. Semangat inilah yang menjadikan Sarawak contoh terbaik perpaduan di Malaysia,” katanya ketika berucap semasa majlis itu pada Khamis.
Beliau berkata nilai hormat-menghormati, persefahaman dan toleransi yang diwariskan oleh generasi terdahulu perlu terus dipelihara agar keamanan serta keharmonian yang dinikmati hari ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Mengulas mengenai peranan KRT, Datuk Sebastian berkata fungsi KRT kini jauh berkembang daripada aspek keselamatan kejiranan semata-mata kepada penggerak utama komuniti melalui pelbagai program kesukarelawanan, kebudayaan, pembangunan belia, kebajikan masyarakat dan aktiviti kemasyarakatan.
“Apabila jiran saling mengenali, mempercayai dan mengambil berat antara satu sama lain, komuniti akan menjadi lebih kukuh, selamat dan berdaya tahan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa dan sukarelawan KRT yang sentiasa berkhidmat demi memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Sebagai Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan, beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar Sarawak bukan sahaja terletak pada keindahan alam semula jadi, taman negara dan warisan budayanya, tetapi juga pada rakyatnya yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Katanya, pelawat dari luar negara sering kagum melihat masyarakat pelbagai etnik di Sarawak dapat hidup bersama serta meraikan pelbagai perayaan dalam suasana penuh muhibah, sekali gus menjadikan perpaduan sebagai aset penting dalam mempromosikan pelancongan negeri.
Majlis turut dimeriahkan dengan bacaan Ikrar Rukun Negara, ucapan alu-aluan, penyampaian cenderahati, jamuan makan malam, persembahan kebudayaan, persembahan Suara Perpaduan Hari Gawai, Ngiling Tikai serta cabutan bertuah.-EDISI UKAS