MSSB Limbang Bukan Sekadar Cari Juara, Tetapi Bina Sahsiah Murid
LAWAS: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Limbang Kali Ke-55 Tahun 2026 bukan sekadar platform melahirkan juara sukan, malah berperanan membentuk sahsiah, disiplin dan semangat juang dalam kalangan murid.
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Lawas, Pengiran Kadir Pengiran Budin berkata, sukan merupakan medan pendidikan yang mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki ketahanan mental, semangat kerjasama dan nilai kepimpinan yang tinggi.
Menurut beliau, setiap atlet yang mengambil bahagian sepanjang kejohanan wajar diberikan penghargaan tanpa mengira pencapaian kerana mereka telah menunjukkan keberanian, komitmen dan semangat untuk mewakili sekolah masing-masing.
“Sukan mengajar banyak perkara yang tidak terdapat di dalam buku teks. Di padang dan gelanggang, murid belajar tentang disiplin, kerjasama, ketahanan serta menghormati lawan dan menerima keputusan dengan hati terbuka.
“Sebab itu saya percaya sukan bukan sekadar mencari juara, tetapi merupakan medan untuk membina manusia yang berdaya tahan dan berakhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan kejohanan yang berlangsung di Stadium Terbuka Lawas pada Rabu.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun itu melibatkan seramai 666 atlet daripada 11 buah sekolah di seluruh Bahagian Limbang.
Sebanyak 12 rekod baharu berjaya dipecahkan sepanjang kejohanan, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi dan daya saing atlet sekolah di Bahagian Limbang.
Bagi kategori keseluruhan sekolah rendah, MSSB Limbang muncul juara keseluruhan manakala MSSB Lawas menduduki tempat kedua.
Dalam kategori sekolah menengah pula, SMK Lawas dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul 18 pingat emas, 12 pingat gangsa dan sembilan pingat perak, diikuti SMK Limbang di tempat kedua dan SMK Trusan di tempat ketiga.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong turut menyumbangkan RM5,000 kepada penganjur sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan sekolah di Bahagian Limbang.
Kejohanan tahunan tersebut terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat atlet muda selain memperkukuh hubungan antara sekolah dan warga pendidikan di daerah Lawas dan Limbang.-EDISI UKAS