Lima Inisiatif Baharu Dicadang Tanam Minat STEM Sejak Sekolah Rendah
SIBU: Lima inisiatif strategik bagi memperkasakan pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak telah dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, cadangan itu dikemukakan susulan kadar penyertaan pelajar dalam aliran sains di Sarawak yang masih rendah dan memerlukan langkah intervensi segera.
“Semalam saya telah memberi taklimat kepada menteri (Dato Sri Roland Sagah) saya mengenai lima inisiatif yang saya harap akan diterima oleh kerajaan untuk murid sekolah rendah.
“Seperti yang kita tahu, penyertaan pelajar dalam aliran sains masih sangat rendah. Malah, ia merupakan antara yang terendah di negara ini.
“Salah satu sebabnya ialah kekurangan kemudahan berkaitan STEM di sekolah rendah sehingga minat murid terhadap sains telah terhakis sejak usia yang muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Misi A+ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Hotel Kingwood, pada Jumaat.
Inisiatif berkenaan ialah Modul Intensif Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik Tahun Enam (UP-DLP), Latihan Intensif Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik Tahun Enam (UP-DLP), Pendidikan Matematik Berkesan dalam Bahasa Inggeris (EMEIE) dengan kerjasama Singapore Education Consulting Group, melibatkan pemerkasaan 6,000 guru Matematik di seluruh Sarawak, Pendekatan Sarawak Collaborative Learning Interactive Experience (SCALE) melalui penggunaan buku teks digital dan Penyediaan Kit Sains untuk sekolah rendah.
“Alhamdulillah, PETRONAS membantu kita dan kita juga sedang meningkatkan keupayaan guru mengajar Bahasa Inggeris serta Matematik dalam Bahasa Inggeris.
“Kita juga mempunyai modul latihan intensif untuk murid Tahun Enam dan berharap buku digital interaktif yang dibangunkan dalam bentuk animasi serta gamifikasi dapat menarik minat murid terhadap pembelajaran,” ujarnya.
Sementara itu, Program Misi A+ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 telah berlangsung dari 22 hingga 26 Jun dengan penyertaan 155 calon SPM dari tiga sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedaya, SMK Nanga Dap dan SMK Kanowit.
Program merupakan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit dengan kerjasama Pejabat Daerah Kanowit dan ditaja oleh Lembaga Kumpulan Wang Konsesi Hutan, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak.
Hadir sama semasa majlis itu ialah Agli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong, wakil ADUN Ngemah Desmond Juat, Pegawai Daerah Kanowit Cerisologo Sabut, wakil Residen Bahagian Sibu Hayati Ali serta Pegawai Pendidikan Daerah Kanowit Dali Rain.- EDISI UKAS