Kemudahan sukan dan kecemerlangan pendidikan asas pembentukan komuniti cemerlang
MIRI: Kemudahan sukan yang berkualiti dan pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik merupakan elemen penting dalam membentuk komuniti yang sihat, progresif dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pembangunan kemudahan sukan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah membantu memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat komuniti.
Menurut beliau, Projek Penambahbaikan Gelanggang Pickleball Kelab Sosial MIRIfm yang berjaya disiapkan menerusi fasa pertama membuktikan komitmen warga RTM Miri dalam menyediakan kemudahan riadah yang lebih selesa dan selamat.
“Saya gembira dapat menyumbang sebanyak RM4,000 kepada projek ini dan lebih berbangga melihat hasilnya yang memberi manfaat kepada warga RTM Miri serta keluarga mereka.
“Kemudahan yang dinaik taraf termasuk pencahayaan yang lebih baik dan fasiliti yang lebih selamat akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk aktiviti riadah dan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Gelanggang Pickleball dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik serta Kokurikulum Anak-Anak Ahli Kelab RTM Miri FM di Stesen RTM Miri, di sini pada Jumaat.
Datuk Sebastian Ting turut menyambut baik cadangan pelaksanaan fasa kedua projek tersebut yang akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan bekalan air minuman dan infrastruktur sokongan lain demi keselesaan pengguna.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kecemerlangan akademik dan kokurikulum dalam kalangan generasi muda perlu terus dihargai kerana mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Katanya, Program Anugerah Kecemerlangan yang kini memasuki tahun keempat penganjurannya merupakan platform penting untuk mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar.
“Pengiktirafan seperti ini mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan, selain menunjukkan bahawa segala usaha mereka dihargai oleh keluarga dan masyarakat.
“Selain kecemerlangan akademik, nilai integriti, disiplin, tanggungjawab dan kepimpinan juga perlu dipupuk kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan pemimpin masa depan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang sentiasa memberikan sokongan dan pengorbanan dalam memastikan anak-anak mencapai kejayaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap gelanggang pickleball yang telah dinaik taraf itu akan terus dimanfaatkan oleh warga RTM Miri dan komuniti setempat bagi menggalakkan amalan hidup sihat serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Sejurus selesai majlis perasmian, turut berlangsung Kejohanan Pickleball Persahabatan melibatkan kakitangan RTM Miri sebagai platform memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan persahabatan.
Datuk Sebastian kemudiannya merasmikan Gelanggang Pickleball Kelab Sosial MIRIfm serta menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Anak-Anak Ahli Kelab MIRIfm 2026.-EDISI UKAS