RWMF Lonjak Nama Sarawak, Tersenarai Lapan Festival Muzik Terbaik Dunia
KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) terus melonjak nama Sarawak apabila diiktiraf sebagai festival muzik kelapan terbaik dunia, sekali gus memperkukuh reputasi negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan kejayaan Sarawak memanfaatkan kekayaan warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian etnik sebagai tarikan utama pelancong dari seluruh dunia.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan Sarawak, malah membuktikan bahawa usaha berterusan kita dalam mempromosikan budaya tempatan di peringkat global membuahkan hasil yang signifikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena RWMF 2026 di Kampung Budaya Sarawak di sini pada Jumaat.
Beliau menambah, sejak diperkenalkan hampir tiga dekad lalu dengan hanya sekitar 300 pengunjung, RWMF kini berkembang menjadi antara festival muzik paling berprestij di dunia serta menjadi ikon pelancongan yang sinonim dengan Sarawak.
Katanya, pencapaian itu turut membuktikan kejayaan Kerajaan Sarawak dalam memelihara dan mengetengahkan warisan budaya 34 kumpulan etnik negeri ini di pentas antarabangsa tanpa mengabaikan identiti serta keunikan setiap komuniti.
"RWMF bukan sekadar festival muzik, malah menjadi platform strategik untuk mempromosikan seni, budaya, warisan dan kelestarian alam sekitar yang memberi nilai tambah kepada pembangunan industri pelancongan negeri," jelasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan industri pelancongan Sarawak kini menjana penerimaan melebihi RM1 bilion setiap bulan sejak dua tahun kebelakangan ini, didorong peningkatan jumlah pelawat yang memberi limpahan manfaat kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta pelbagai industri sokongan lain.
Menurut beliau, penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti RWMF bukan sahaja merancakkan ekonomi negeri, malah memperluas peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
Menyentuh mengenai sambutan RWMF 2026, beliau menjelaskan, jualan tiket kekal memberangsangkan apabila kira-kira 22,000 tiket berjaya dijual, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan peningkatan kos perjalanan udara.
Jumlah itu hanya katanya mencatatkan penurunan sekitar dua peratus berbanding sasaran 23,000 tiket tahun lalu.-EDISI UKAS