Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi & Isteri Bakal Sempurnakan Penutupan Rasmi Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2025
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah bakal menyempurnakan Majlis Penutupan Rasmi serta menyaksikan Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2025 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sarawak pada 29 November ini, jam 3 petang.
Perkara tersebut dizahirkan selepas kunjungan hormat dan penyerahan watikah jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah oleh delegasi Jawatankuasa Penganjur kejohanan berkenaan di kediaman rasmi beliau di Kasuma Resort, pada Rabu.
Kunjungan hormat itu diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang turut memberikan penerangan terperinci mengenai penganjuran kejohanan tersebut.
Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Pendidikan Sarawak iaitu Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli, Kwang Law, Johnny Rasit, Liew Guo Chen dan Jim Andrew Janggi.-EDISI UKAS