Akses Jalan Sungai Mujong, Penempatan Semula Rumah Panjang di Tunoh Dimohon Diberi Perhatian
KUCHING: Isu akses jalan raya di kawasan sebelah kiri tebing Sungai Mujong yang melibatkan lima buah rumah panjang serta Sekolah Kebangsaan (SK) Mujong Tengah dimohon untuk diberi perhatian khusus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai menyatakan bahawa perkara tersebut wajar diberi perhatian sewajarnya agar penduduk di kawasan berkenaan dapat menikmati kemudahan yang lebih baik seiring perkembangan negeri.
“Keadaan ini telah berlarutan sekian lama dan memberi implikasi langsung terhadap kesejahteraan lebih daripada ratusan penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa keadaan jalan yang tidak sempurna bukan sahaja menyukarkan pergerakan harian, malah mempengaruhi akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan penghantaran barangan asas.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat meneliti semula keperluan pembinaan jalan penghubung ke lima rumah panjang serta SK Mujong Tengah untuk memastikan masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Mengambil maklum keperluan tersebut, Nicholas menzahirkan harapan agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan satu keputusan yang jelas dan teratur, termasuk penetapan lokasi rasmi, proses pewartaan kawasan, penyediaan pelan pembangunan menyeluruh serta penglibatan komuniti dalam setiap peringkat perancangan.
Beliau yakin pendekatan menyeluruh dan terancang akan membantu memastikan kesejahteraan masyarakat terus dipelihara serta pembangunan kawasan dapat dilaksana secara lebih berkesan.–EDISI UKAS