Sarawak-Jepun Perkukuh Kerjasama Teknologi Hijau & Reforestasi
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memudahcara kerjasama dengan Jepun dalam usaha membangunkan teknologi tenaga hijau termasuk hidrogen, biomass dan reforestasi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri bersedia menyediakan fasilitasi sepenuhnya kepada syarikat dan institusi kewangan Jepun yang ingin melabur atau menjalinkan kerjasama teknologi di Sarawak.
Menurutnya, Jepun mempunyai kepakaran tinggi dalam meningkatkan kecekapan proses elektrolisis yang mampu menurunkan kos pengeluaran hidrogen.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah bekerjasama dengan penyedia teknologi. Jika proses elektrolisis dipertingkatkan, kos hidrogen boleh dikurangkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Forum Pelaburan Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa Yamada di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan bahawa teknologi hibrid yang menggabungkan gas dan biomass berpotensi besar untuk dijadikan sumber tenaga hijau.
Katanya, Sarawak memiliki iklim yang sesuai untuk tanaman cepat tumbuh seperti polylima, nappia dan acacia yang boleh dijadikan sumber biomass, selain memanfaatkan sisa buangan.
Beliau turut mengimbas kerjasama jangka panjang antara Sarawak dan Jepun dalam reforestasi yang telah berlangsung selama lebih tiga dekad.
“Kita sudah lama bekerja dengan Jepun dalam usaha penanaman semula hutan. Hubungan ini menjadi asas penting kepada kerjasama masa depan,” katanya.
Premier Sarawak juga percaya penyepaduan sumber Sarawak, teknologi Jepun dan sokongan kewangan dari institusi Jepun mampu mewujudkan kerjasama yang memberi impak besar kepada rantau ini.
“Sarawak akan memudahkan dan menyokong sepenuhnya kerjasama ini. Kami sedia membuka laluan. Keputusan terletak pada syarikat Jepun, dan Sarawak akan memfasilitasi,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengarah Urusan ASEAN & India, Yamada Consulting & Spire Singapore Pte. Ltd, Go Sakano San.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: M. Hanif Suhaimi