Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Pembangunan Luar Bandar Di Sebiris
LUNDU: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar terus diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai projek kemudahan asas termasuk pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Sebiris bernilai RM570,000 yang dirasmikan sempena Majlis Penangguhan Program Gawe Basaroh 2026, pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan lebih selesa dan berkualiti demi kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Sebiris melibatkan peruntukan RM350,000 bagi Fasa I dan RM220,000 bagi Fasa II dengan keseluruhan kos projek berjumlah RM570,000.
Katanya, dewan berkenaan akan menjadi pusat pelbagai aktiviti komuniti termasuk program kemasyarakatan, kebudayaan dan pembangunan sosial penduduk setempat.
Selain dewan serbaguna, Kampung Sebiris turut menerima pelbagai projek pembangunan lain seperti baik pulih jalan pertanian, kerja penurapan jalan kampung, naik taraf sistem paip graviti serta projek naik taraf gelanggang futsal yang sedang dilaksanakan.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian Sistem Paip Graviti Kampung Sebiris yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk melalui penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola, Merisen Lanjong berkata Program Gawe Basaroh tahun ini melibatkan 28 stesen perjalanan dari Kampung Sebiris hingga Kampung Tebaro dan berjaya menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh kekeluargaan sempena sambutan Hari Gawai.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek-EDISI UKAS