Annah Rais Terus Dipromosi Sebagai Destinasi Pelancongan Budaya Sempena Sambutan Gawai
PADAWAN: Kampung Annah Rais terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan budaya utama di Sarawak menerusi penganjuran program ‘Kampung Takeover Coca-Cola’ sempena Sambutan Hari Gawai 2026 yang berlangsung meriah dengan penyertaan komuniti setempat dan kehadiran pengunjung dari pelbagai kawasan.
Program tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil bersama Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian (PACS) Coca-Cola bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Khairul Anwar.
Penganjuran program tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Gawai, malah menjadi platform penting dalam mengetengahkan keunikan adat dan budaya masyarakat Bidayuh Biannah kepada khalayak yang lebih luas.
Pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan sepanjang program termasuk persembahan tradisional, pameran warisan serta aktiviti komuniti yang mencerminkan identiti dan keunikan masyarakat setempat. Kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan turut menambahkan kemeriahan sambutan berkenaan.
Datuk Dr Jerip berkata, program seumpama itu berupaya memperkasa komuniti luar bandar di samping membantu mempromosikan Kampung Annah Rais sebagai destinasi pelancongan budaya yang berpotensi menarik lebih ramai pelawat.
Menurut beliau, warisan budaya masyarakat Bidayuh perlu terus dipelihara dan dipromosikan kerana ia merupakan aset penting yang bukan sahaja memperkukuh identiti masyarakat, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan.
“Semangat Gawai yang diraikan hari ini bukan sekadar perayaan, tetapi simbol perpaduan, warisan dan identiti masyarakat yang perlu terus dipelihara serta diketengahkan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara komuniti, sektor swasta dan kepimpinan setempat sebagai langkah positif dalam memperluaskan promosi pelancongan budaya, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada masyarakat luar bandar.
Turut hadir Pegawai Tadbir Menguasai Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS