1,200 Peserta Meriahkan Berarak Bipajak Gawai Segu Bunuk Ke-4
PADAWAN: Program Berarak Bipajak Gawai Segu Bunuk Edisi Ke-4 berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 1,200 peserta melibatkan 21 kontinjen yang menampilkan keunikan budaya serta warisan masyarakat Bidayuh dari kawasan Bisegu dan Padawan.
Program tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang bersama-sama menyaksikan perarakan penuh warna-warni yang menjadi simbol kebanggaan masyarakat Bidayuh.
Sepanjang perarakan, setiap kontinjen tampil dengan busana tradisional yang unik serta persembahan kebudayaan yang mencerminkan identiti, adat resam dan semangat sambutan Gawai yang masih utuh dalam kalangan masyarakat setempat.
Kehadiran pengunjung dari pelbagai kawasan turut menambah kemeriahan program apabila orang ramai memenuhi laluan perarakan bagi menyaksikan keunikan budaya yang dipersembahkan.
Datuk Dr Jerip berkata program seumpama itu bukan sahaja menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan masyarakat, malah memainkan peranan penting dalam memelihara serta memartabatkan warisan budaya Bidayuh agar terus relevan dan diwarisi oleh generasi muda.
Menurut beliau, penglibatan besar komuniti dalam program tersebut membuktikan bahawa masyarakat masih menghargai dan mengekalkan adat serta tradisi yang menjadi identiti mereka sejak turun-temurun.
Turut hadir, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari dan Pegawai Tadbir Menguasai Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS