Pencahayaan Baharu Tingkatkan Keselamatan Laluan Bintangor–Sarikei
SARIKEI: Pemasangan pencahayaan baharu di sepanjang laluan Bintangor–Sarikei kini meningkatkan tahap keselamatan pengguna, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan terutamanya pada waktu malam.
Penduduk setempat menyambut baik usaha menaik taraf pencahayaan tersebut selepas bertahun-tahun berhadapan keadaan jalan yang gelap dan kurang selamat, khususnya bagi mereka yang kerap berulang-alik pada waktu malam.
Penduduk, Wong Kui Mei berkata, keadaan sebelum ini amat merisaukan terutamanya bagi penunggang motosikal yang terdedah kepada bahaya di laluan tersebut.
“Dengan adanya lampu jalan ini, perjalanan lebih yakin dan kawasan sekitar menjadi lebih hidup pada waktu malam, termasuk dari segi aktiviti ekonomi,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata projek berkenaan melibatkan pemasangan lampu jalan sepanjang hampir 13 kilometer.
Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan kerja dilakukan secara berfasa, bermula dari Bandar Bintangor ke William Staun sebelum disambung hingga ke Jambatan Sungai Selidap bagi melengkapkan keseluruhan laluan.
Menurutnya, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan infrastruktur yang lebih berkualiti serta memenuhi keperluan semasa penduduk.
“Laluan ini menjadi tumpuan penduduk dari Bintangor, Sarikei dan kawasan berdekatan, justeru peningkatan pencahayaan amat penting demi keselamatan pengguna,” katanya.
Dengan siapnya projek berkenaan, laluan Bintangor–Sarikei kini menjadi lebih selesa, terang dan meyakinkan untuk digunakan pada waktu malam.-EDISI UKAS