Pertunjukan Fesyen Antarabangsa Bakal Meriahkan SIFMA 6.0
KUCHING: Pertunjukan fesyen antarabangsa antara aktiviti yang bakal memeriahkan Sarawak International Festival of Music & Arts (SIFMA) 6.0 berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula pada 5 hingga 7 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program anjuran International Music House telah melaksanakan pelbagai usaha promosi dan memperluaskan capaian program mereka termasuk artis antarabangsa dan tempatan.
"Program kali ini menampilkan pertunjukan fesyen elegan yang melibatkan pereka dari Hong Kong, Indonesia, Semenanjung Malaysia serta beberapa negara lain.
"Selain itu, terdapat juga penyertaan artis dan pemahat dari Sarawak termasuk Majlis Kraftangan Sarawak yang turut mengadakan pameran sempena penganjuran ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media SIFMA 6.0 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Jelasnya, seramai 18 kumpulan dan individu bakal melakukan persembahan terdiri daripada Vietnam, Indonesia, China, Filipina, Taiwan dan Thailand selain artis Malaysia serta artis Sarawak daripada pelbagai bahagian.
Selain dua hari acara utama, terdapat juga pengisian sepanjang minggu termasuk Junior SIFMA yang bermula 2 Disember yang terdiri daripada kanak-kanak dari seluruh Sarawak, termasuk Bintulu, Sibu, Miri dan Kuching sebagai peluang untuk bakat terbaik menyertai Grand SIFMA pada masa hadapan.
Pada 3 Disember pula berlangsung 'Night of Classics' di mana para penggiat seni yang menyertai Grand SIFMA dan ingin membuat persembahan tambahan boleh beraksi pada malam tersebut.
Selepas itu, Pasca SIFMA diadakan khusus untuk komuniti berkeperluan khas serta mereka yang tidak berpeluang menyertai acara utama. - EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ibanez Jeffery