Penambahbaikan Jalan Luar Bandar Diperhebat, Demi Keselesaan Penduduk Pedalaman
KUCHING: Pembangunan jalan luar bandar khususnya rangkaian jalan bekas balak yang menjadi nadi utama perhubungan penduduk pedalaman, dimohon diberi keutamaan bagi memastikan akses mobiliti yang lebih selamat, efisien serta mampu merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, dianggarkan sepanjang 715 kilometer (km) jalan bekas balak di Jelalong, Tubau, Lusong Laku, Ulu Sungai Belaga, Long Urun, Metalun, Tegulang, Sungai Linau dan Sungai Asap dikenal pasti untuk ditambah baik.
“Saya juga mohon mencadangkan agar jalan utama ke Projek Perumahan Sungai Asap (BRS) diperbesarkan kepada ‘dual carriageway’ sepanjang 25 km termasuk membina laluan motosikal dan pemasangan lampu jalan.
“Pertambahan penduduk dan kenderaan berat dari beberapa ladang kelapa sawit menuntut infrastruktur yang lebih selamat dan berkualiti,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Beliau turut memohon agar RECODA dan URDA mempercepatkan pembinaan Jalan Pertanian Fasa 1 (50 km) dan Fasa 2 (85 km) yang diluluskan sebelum ini.
"Jalan tersebut merupakan projek ‘people-centric’ yang penting bagi memudahkan penduduk mengusahakan tanah pertanian tiga ekar yang diberikan selepas penempatan semula Bakun," katanya.
Dalam aspek kemudahan asas, Kennedy turut menekankan keperluan mencari lokasi baharu bagi Raw Water Intake di BRS Sungai Asap bagi menjamin bekalan air bersih yang stabil.
Beliau turut berharap sebuah pusat hemodialisis dapat dibina di Klinik Kesihatan Sungai Asap untuk mengurangkan kos perjalanan pesakit ke bandar besar.-EDISI UKAS