250 Pelajar Pra Tahfiz TABIKA KEMAS Dirai Dalam Majlis Khatam Perdana Di Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 250 pelajar Pra Tahfiz TABIKA KEMAS dari Parlimen Kota Samarahan diraikan dalam Majlis Khatam Perdana Pra Tahfiz TABIKA KEMAS 2025 yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan, Kota Samarahan di sini, pada Khamis.
Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Samarahan, Muhamad Asyraf Md Noor menegaskan bahawa majlis khatam tersebut merupakan satu bentuk penghargaan terhadap usaha gigih para pelajar yang berjaya menghafaz Juz ‘Amma dalam tempoh kurang setahun.
“Program ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada usaha gigih pelajar serta sokongan padu yang diberikan oleh ibu bapa. Inisiatif seumpama ini amat penting dalam membina generasi muda yang berpengetahuan agama,” katanya semasa menyempurnakan majlis berkenaan yang menghimpunkan pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Muara Tuang dan Stakan.
Muhamad Asyraf turut memaklumkan bahawa KEMAS Samarahan akan memperluaskan modul pendidikan Al-Quran ke peringkat TASKA pada tahun hadapan, bagi memastikan kanak-kanak seawal usia dua tahun mendapat pendedahan awal terhadap asas bacaan Al-Quran.
Jelasnya, langkah tersebut mencerminkan komitmen KEMAS dalam melahirkan “Generasi Al-Quran” yang berdisiplin dan berilmu.
Selain acara khatam, majlis turut meraikan pencapaian cemerlang seorang pelajar Tabika, Aish Amnani Dahlan, yang terpilih mewakili Sarawak ke pertandingan peringkat kebangsaan di Serdang pada 3 hingga 7 Disember nanti.
Aish diiktiraf kerana berjaya menguasai hafazan lebih 20 surah, sekali gus membuktikan kemampuan generasi muda dalam penghayatan ilmu Al-Quran.
Penganjuran program ini yang mendapat kerjasama erat daripada para ibu bapa, guru-guru dan Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin diyakini mampu memberi motivasi tinggi kepada kanak-kanak untuk terus memperkukuh penguasaan Al-Quran pada masa hadapan.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Pengerusi Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan Hamsein Atta dan Bilal Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan Sayed Idrus Tengku Ali.-EDISI UKAS