Legasi Juma’ani Tersulam Dalam Setiap Benang: Songket & Keringkam Sarawak Warisan Generasi Baharu
KUCHING: Warisan tekstil tradisional Sarawak terus diperkasakan dalam menghidupkan semula legasi kasih yang diwariskan oleh Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan songket dan keringkam sebagai 'benang memori' yang menghubungkan generasi, menyimpan cerita keluarga dan menjadi simbol maruah serta identiti Melayu.
"Beliau bukan sahaja mengangkat songket dan keringkam, malah meniup semula nyawa warisan yang pernah hampir pudar.
"Setiap benang yang ditenun kini membawa legasi cintanya,” katanya ketika Majlis Penyerahan Buku “The Revival of Sarawak Songket and Keringkam: Honouring Datuk Amar Juma’ani” kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Santapan DUN Sarawak pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim menambah, penerbitan buku “The Revival of Sarawak Songket and Keringkam” bukan sekadar dokumentasi, tetapi tanda kesyukuran dan komitmen untuk meneruskan usaha Allahyarhamah Datuk Amar Juma’ani.
Selain itu katanya, sejak inisiatif Sarawak Heritage Innovation Project (2018) diperkenalkan, usaha mengangkat songket dan keringkam telah berubah menjadi ekosistem lengkap.
“Sehingga 2025, sebanyak 1,022 penenun dan penyulam berjaya dilatih di Kuching, Samarahan, Gedong, Betong, Sibu, Rajang, Limbang dan Lawas.
Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan keazaman kerajaan melalui Sarawak Craft Council, CENTEX dan pelbagai agensi untuk memastikan songket dan keringkam terus berkembang pemangkin ekonomi kreatif tempatan, penarik pelancongan budaya dan sumber pemerkasaan ekonomi komuniti.
Dalam pada itu, anakanda kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan turut berkongsi berkenaan koleksi keringkam Allahyarhamah yang ditempah khas untuk beliau sejak daripada dalam kandungan sebagai persalinan dari perkahwinan dan pusaka yang dianugerahkan sebagai tanda cinta terhadap anaknya dan dijadikan sebagai pusaka keluarga.
Pada majlis berkenaan Premier Sarawak bersama anakandanya sempat meluangkan masa untuk melawat Pameran Keringkam dan Kain Premium di Sri Kenyalang.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki serta dan tetamu kenamaan yang lain.-EDISI UKAS