Penerangan Terperinci Pendidikan Tinggi Percuma Diperlukan Di Peringkat Akar Umbi
KUCHING: Cadangan pelaksanaan skim pendidikan tinggi percuma Sarawak (FTES) mulai tahun hadapan terus mendapat perhatian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Pehin Sri Adenan menyeru pihak kementerian melalui agensi-agensi berkaitan bersama pusat khidmat kawasan untuk mengadakan sesi outreach bagi memberi penerangan lebih terperinci di peringkat akar umbi.
"Masih wujud tanggapan dalam kalangan penduduk bahawa pendidikan percuma itu meliputi semua jurusan serta semua kemudahan termasuk buku teks dan tempat tinggal di universiti milik Sarawak.
“Tambahan pula, kementerian juga perlu menerangkan syarat-syarat kemasukan dan kelayakan untuk pembelajaran secara percuma ini,” katanya demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Azizul turut menegaskan bahawa pelaksanaan pendidikan percuma ini tidak seharusnya menjejaskan kualiti graduan, sebaliknya perlu memastikan mereka memenuhi keperluan industri.
Justeru, beliau berharap pihak kerajaan dapat mencari solusi bersama untuk menangani isu yang mungkin timbul apabila program ini bermula dengan menjangka masalah yang bakal berlaku sebelum ia benar-benar terjadi. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Jaed Tepus