336 Isi Rumah Terima Manfaat Projek BALB Jalan Lubok Bemban / Bukit Enkerbai
KUCHING: Sebanyak 336 isi rumah akan menerima manfaat daripada projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Jalan Lubok Bemban / Bukit Enkerbai apabila projek ini siap sepenuhnya kelak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, berkata projek tersebut kini telah memasuki peringkat penilaian tender.
“Skop projek ini merangkumi kerja-kerja utama termasuklah pemasangan saluran paip sepanjang 20 kilometer dan pembinaan satu tangki simpanan air berkapasiti 1.45 juta liter dan pembinaan stesen pam penggalak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menyentuh perkembangan projek BALB di kawasan lain di Mukah, Datuk Liwan mendedahkan projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seperti projek bekalan air terawat ke kawasan Sungai Arip, Ulu Baoh dan Ulu Sebakong telah memasuki fasa reka bentuk, dengan Makmal Kejuruteraan Nilai dijangkakan dibuat pada suku pertama tahun hadapan.
“Selain itu, projek bekalan air terawat ke kawasan Tingkas, Nanga Sikat dan Sebakong juga kini dalam peringkat reka bentuk,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS