SEB Laksanakan Kajian Sistem Meter Pintar Pra-Bayar, Sasaran 70 Peratus Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) telah memulakan kajian pasaran bagi sistem meter pra-bayar sejak awal tahun ini sebagai usaha meningkatkan keberkesanan sistem meter pintar yang sedang dilaksanakan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki berkata, beberapa kaedah prabayar telah dikaji bersama pelbagai penyedia perkhidmatan bagi menilai keserasian dengan sistem meter pintar sedia ada.
“Sarawak Energy merancang untuk menjalankan kajian kelayakan pada tahun 2026 dan seterusnya melaksanakan projek perintis bagi segmen pelanggan terpilih pada tahun 2027.
“Kajian dan projek perintis ini akan menangani cabaran-cabaran yang berpotensi, khususnya di kawasan dengan liputan rangkaian telekomunikasi yang rendah atau tidak stabil,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Setakat ini katanya, penyebaran meter pintar berada pada tahap 25 peratus dan dijangka mencapai 70 peratus menjelang tahun 2030.
Penggunaan sistem meter pra-bayar dijangka memberi manfaat besar kepada pelanggan, termasuk kawalan yang lebih baik ke atas penggunaan elektrik, membantu perancangan bajet yang lebih efektif serta menawarkan kemudahan melalui pilihan pembayaran yang fleksibel. -EDISI UKAS