Dewan Serbaguna RM 5 Juta Bakal Dibina di Pekan Kanowit
KUCHING: Projek pembinaan dewan serbaguna baharu yang menelan kos sebanyak RM5 juta di Pekan Kanowit kini memasuki fasa awal pelaksanaan.
Perkembangan tersebut dimaklumkan selepas Majlis Daerah Kanowit selesai mengenal pasti tapak yang sesuai bagi melaksanakan pembangunan berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, permohonan pertapakan akan dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Survei dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan rasmi.
“Majlis Daerah Kanowit telah mengenalpasti ataupun mencadang dua lot iaitu lot 2619 dan 1324 Kanowit Town District bersebelahan dengan tamu Kanowit yang sedia ada sekarang ini untuk tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Datuk Dr Penguang menambah, dewan serbaguna baharu berkenaan direka bentuk untuk menampung kira-kira 500 orang dalam satu masa.
Antara komponen utama kemudahan ini termasuk bilik orang kenamaan (VIP), bilik stor, bilik sistem audio, pentas, bilik Mechanical Switch Board, bilik persalinan, tandas dan tempat letak kereta.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Hazrin Sunaini