KUCHING: Fasiliti Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Bintulu kini berada dalam fasa persiapan terakhir sebelum mula beroperasi pada awal tahun 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, TTG Bintulu bakal dilengkapi sehingga 30 gelandangan, terdiri daripada 18 lelaki dan 12 perempuan bagi menyokong golongan gelandangan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Tempat Transit Gelandangan (TTG) Bintulu dilengkapi untuk menempatkan sehingga 30 individu gelandangan, terdiri daripada 18 lelaki dan 12 perempuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menurutnya, fasiliti berkenaan akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk kaunseling, latihan kemahiran, dan padanan pekerjaan bagi membantu golongan gelandangan produktif untuk disepadukan semula ke dalam masyarakat.
Jelas beliau, usaha ini dijalankan dengan kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan sektor swasta, yang berperanan sebagai rakan strategik dalam menjayakan program ini.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Hazrin Sunaini