Mahkamah Bumiputera Sarawak Rekod 303 Kes Pengambilan Tanah & Tanaman Setakat Ini
KUCHING: Sebanyak 303 kes pertikaian serta tuntutan pampasan berhubung pengambilan tanah dan tanaman telah didaftarkan di Mahkamah Bumiputera Sarawak setakat ini melibatkan jumlah keseluruhan RM19.2 juta di seluruh negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, Bahagian Limbang mencatatkan kes tertinggi iaitu 80 kes dengan nilai pampasan sebanyak RM9.3 juta, menjadikannya bahagian yang merekodkan nilai pampasan terbesar di Sarawak.
Manakala kawasan lain ujarnya, Bahagian Sri Aman sebanyak 63 kes (RM1.2 juta), Bahagian Bintulu sebanyak 30 kes (RM2.8 juta), Bahagian Kapit dengan 28 kes (RM3 juta), Bahagian Mukah sebanyak 28 kes (RM718,000), Bahagian Betong sebanyak 24 kes (RM424,000), Bahagian Sibu sebanyak 17 kes (RM581,000), Bahagian Kuching sebanyak 11 kes (RM423,000) Bahagian Miri sebanyak 11 kes (RM217,000), Bahagian Sarikei sebanyak 9 kes (RM69,000) Bahagian Serian mencatatkan 1 kes (RM230,000) dan Bahagian Samarahan sebanyak 1 kes (RM153,000).
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menurutnya, sejumlah 157 kes pampasan tanah melibatkan nilai RM12.5 juta telah berjaya diselesaikan dan dibicarakan di Mahkamah Bumiputera Sarawak sejak tahun 2008 sehingga Oktober 2025.
"Manakala tunggakan kes pampasan tanah yang masih belum diselesaikan adalah sebanyak 146 kes, melibatkan anggaran pampasan RM6.7 juta.
"Jumlah ini merangkumi kes-kes yang berada dalam proses semakan dokumen, penilaian, verifikasi maklumat pemilikan tanah serta urusan pentadbiran antara agensi sebelum dapat diselesaikan sepenuhnya," ujarnya.
Tambahnya lagi, antara punca utama kelewatan penyelesaian kes adalah proses perbicaraan yang mengambil masa, kekurangan majistret di Mahkamah Bumiputera Daerah, jumlah kes yang tinggi berbanding kapasiti majistret serta permohonan penangguhan daripada peguam pihak terlibat.
Faktor-faktor ini katanya menyebabkan jadual pendengaran menjadi padat dan melanjutkan tempoh penyelesaian, sekali gus meningkatkan jumlah kes tertunggak. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Hazrin Sunaini