4.01 Juta Pelancong, RM10.2 Bilion Resit Pelancongan Dicatatkan Setakat Oktober
KUCHING: Sarawak merekodkan kehadiran seramai 4.01 juta pelancong dengan nilai resit pelancongan RM10.2 bilion setakat Oktober tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap sasaran lima juta pelancong masih boleh dicapai memandangkan tahun ini hanya berbaki kurang dua bulan.
“Ini bermakna bagi November dan Disember, sekurang-kurangnya 450,000 pengunjung diperlukan setiap bulan.
“Secara purata, bulan-bulan biasa merekodkan sekitar 420,000 hingga 430,000 pengunjung,” katanya dalam sidang media SIFMA 6.0 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Namun begitu, beliau menjelaskan sasaran lima juta pelancong akan terus diberi penekanan pada tahun hadapan sekiranya angka tersebut tidak dapat dicapai tahun ini, lebih-lebih lagi dengan kehadiran syarikat penerbangan AirBorneo yang dijangka merancakkan industri pelancongan negeri.
Tambahnya, pelaksanaan acara-acara besar seperti Konsert Andmesh Kamaleng (28 November), Konsert Fenomena Samurai menampilkan Search dan XPDC (13 Disember) serta Sambutan Ambang Tahun 2026 pada penghujung tahun dijangka menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.
Beliau turut optimis terhadap peningkatan kedatangan pelancong berkualiti, terutamanya dari Eropah, Brunei, Indonesia dan Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata jumlah resit pelancongan telah mencapai RM10.221 bilion, mencerminkan kedatangan pelancong berkualiti yang berbelanja lebih tinggi.
“Jumlah ini memberi impak besar kepada industri perhotelan, restoran dan usahawan tempatan.
“Statistik ini diperoleh daripada Jabatan Imigresen, dikategorikan mengikut negara asal pelancong serta tempoh penginapan, menjadikan data sangat tepat,” ujarnya. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ibanez Jeffery