Sarawak Perlu Skim Bantuan Khas Untuk Sokong Pelajar Berbakat Dari Keluarga Berpendapatan Rendah
KUCHING: Kerajaan Sarawak disarankan menubuhkan skim bantuan khas bagi memastikan pelajar berbakat dari keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada menyertai pertandingan di peringkat sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, ramai pelajar cemerlang dalam bidang sukan, seni, budaya, inovasi dan pelbagai bakat lain sering berdepan cabaran kewangan sehingga menghalang mereka daripada menyerlah di pentas yang sepatutnya.
Beliau berkata, kos seperti perjalanan, penginapan, latihan, peralatan dan yuran penyertaan menjadi beban besar kepada keluarga berpendapatan rendah walaupun pelajar tersebut telah terpilih berdasarkan merit dan pencapaian mereka.
“Akibat kekangan ini, ada pelajar yang akhirnya terpaksa menarik diri walaupun peluang itu sukar diperoleh.
“Apabila seorang anak kehilangan peluang disebabkan masalah kewangan, Sarawak kehilangan seorang juara,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu dasar atau skim bantuan khusus diwujudkan bagi memastikan pelajar berbakat yang terpilih mewakili daerah, negeri atau negara tidak lagi ketinggalan hanya kerana kesempitan kewangan.
Menurutnya, skim berkenaan bukan sahaja dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelajar berpotensi, tetapi juga mengukuhkan barisan bakat muda yang boleh mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - EDISI UKAS