Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin Dilantik CEO AirBorneo Mulai 1 Januari 2026
KUCHING: Bekas Ketua Pegawai Penerbangan dan Strategi, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu AirBorneo berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi AirBorneo Holdings yang juga Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
“Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin akan melapor diri berkuat kuasa 1 Januari 2026, kita telah bersetuju untuk melantik beliau sebagai CEO AirBorneo,” katanya.
Pelantikan Megat Ardian dianggap signifikan memandangkan kepakaran beliau dalam sektor pengurusan operasi penerbangan di MAHB dijangka membawa dimensi baharu kepada pembangunan AirBorneo Airlines, syarikat penerbangan milik Sarawak yang sedang mengorak langkah ke arah operasi penuh.
Pengalaman luas beliau dalam keselamatan operasi, mobiliti udara serta pengurusan lapangan terbang dijangka menjadi aset utama dalam memperkukuh rangkaian domestik dan serantau AirBorneo.
AirBorneo yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada agenda kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kesalinghubungan udara Sarawak, kini berada di fasa persediaan akhir sebelum pelancaran operasi komersial.
Dengan pelantikan CEO baharu ini, fokus dijangka tertumpu kepada strategi pengembangan, kesiapsiagaan operasi dan penambahbaikan keselamatan, termasuk integrasi teknologi digital dalam pengurusan pelanggan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : George